TANDATANGAN: Jeffrey menandatangani buku pelawat sambil diperhatikan oleh Rozie (kanan).
KENINGAU: Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Datuk Seri Panglima GS Sundang Keningau telah mengambil bahagian dalam program dan pameran Kebudayaan Karnival Jiwa Etnik Borneo (KaJEBo) yang diadakan di perkarangan Dewan Kompleks Sukan Keningau baru-baru ini.
Festival yang diadakan selama tiga hari itu menyaksikan penyertaan yang begitu menggalakkan daripada kalangan wakil persatuan berasaskan etnik dan kebudayaan, dan SAANS berkenaan merupakan salah satu sekolah yang menyertainya.
Pelbagai aktiviti menarik seperti sukan rakyat, rumah etnik Borneo, jualan kraftangan, makanan, minuman tradisi, tarian tradisional etnik Borneo, konsert amal KaJEBo, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah penyertaan 36 orang daripada Limbang, Sarawak.
Ketika ditemui Pengerusi merangkap Pengetua SAANS DSP GS Sundang, Rozie Gitang memberitahu objektif penubuhan sekolah adat itu adalah bagi memartabatkan dan melestarikan identiti setiap etnik anak negeri di seluruh negeri bagi mengelakkan daripada kepupusan identiti bangsa.
"Kita tidak mahu membiarkan fenomena golongan generasi muda anak negeri kehilangan identiti disebabkan sudah tidak lagi mampu berbahasa ibunda masing-masing.
"Sekolah adat ditubuhkan bukan sahaja berusaha untuk memainkan peranan mengajarkan bahasa ibunda tetapi juga mengajarkan tentang adat resam dan undang-undang adat amalan kebudayaan dan tradisi nenek moyang mereka," katanya.
Beliau menambah, sekolah adat yang menawarkan 19 mata pelajaran merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat anak negeri yang dikhuatiri akan pupus jika tidak ada langkah tindakan yang dilakukan oleh golongan dewasa yang celik akal mengenainya.
"Sebagai golongan tua, kita adalah sumber ilmu yang kita warisi sejak turun temurun ini yang kebanyakannya hanya berfokus kepada kebudayaan dan berlaku hanya pada musim-musim tertentu sahaja seperti sambutan perayaan Pesta Menuai.
"Orang tua yang ada pada hari ini adalah umpama sebuah perpustakaan atau gedung ilmu yang jika ianya terbakar maka lenyaplah segala ilmu itu.
"Justeru itu selagi kita golongan tua yang masih hidup pada hari ini jika tidak ada kesedaran tentang tanggungjawab besar ini maka hilang lenyaplah segala khazanah ilmu yang sepatutnya diwariskan kepada golongan generasi muda setiap etnik anak negeri apabila," katanya.
Antara yang berkesempatan mengunjungi pameran SAANS, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau.
Rozie mengambil peluang dengan mengutarakan keperluan mendesak iaitu dana untuk membina sebuah bangunan serbaguna bagi kegunaan sebagai pejabat pentadbiran yang kondusif dimana keadaan bangunan serta tapak sekolah masa ini sangat terhad dan memohon agar kerajaan negeri dapat mengambil maklum dan membantu merealisasikan hasrat itu.
|