Pelajar sekolah menggunakan jeket keselamatan semasa menaiki perahu selepas menyeberangi Batang Kayan. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Perahu tambang biasa yang digunakan di Batang Kayan tidak sesuai untuk menelusuri sungai terbabit, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang.
Oleh itu katanya, pihaknya telah mengarahkan pembekal untuk menyediakan satu reka bentuk bot baharu yang diperbuat daripada fiber.
"Untuk menambah baik keadaan, kita sudah mengadakan mesyuarat bersama ketua kaum, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) , Agensi Penyelaras Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) serta Kementerian Pengangkutan dan kita tahu bahawa bot yang sedia ada sudah tidak bagus sebenarnya.
"Untuk itu, kita berharap kepada pengusaha bot agar menggunakan bot baharu fiber yang akan kita bekalkan untuk ganti perahu lama," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah menyerahkan sumbangan kepada waris pelajar mangsa tragedi bot karam di Dewan Aseng, Kampung Bitokan, Lundu hari ini.
Billy berkata, pembekal diberi tempoh satu minggu untuk menyiapkan reka bentuk bot yang sesuai untuk kegunaan di sungai tersebut.
"Untuk reka bentuk, saya arahkan untuk menyiapkannya dalam tempoh satu minggu kepada pembekal bermula sekarang.
"Selepas (siap) reka bentuk dan sebut harga, dalam tempoh dua bulan ini, bot fiber itu mesti siap mengikut spesifikasi yang kita perlukan di sini (Batang Kayan)," ujarnya.
Beliau menambah, perahu yang sedia ada tidak sesuai untuk berkhidmat di kawasan sungai berkenaan.
"Di sungai ini, tidak boleh menggunakan perahu tambang biasa dan ia tidak sesuai.
"Kita tidak mahu perahu biasa. Di sini apabila paras air surut... ia akan terlalu surut.
Perahu biasa tidak akan sampai ke jeti sekiranya air surut disebabkan keadaan begitu landai," katanya.
Tambahnya lagi, bot yang direka itu juga dapat memuatkan sebuah motosikal.
"Maknanya kita perlu menyediakan bot yang sudah direka yang turut boleh memuatkan sebuah motosikal.
"Mengikut LSS, maksimum penumpang ialah 12 orang sahaja di mana bot itu turut dilengkapi peralatan keselamatan," tambahnya.
Katanya, kemudahan lampu solar turut disediakan bagi keselamatan pengguna.
|