Julaihi (dua kanan) mendengar taklimat mengenai pameran tersebut sambil diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris (kanan) dan ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang (belakang). - Gambar Roystein Emmor
KOTA SAMARAHAN: ‘Pameran Raja Kita’ memberi makna yang begitu penting bagi Sarawak kerana ia menyediakan banyak maklumat penting tentang latar belakang Raja.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Sarawak walaupun tidak mempunyai Raja hanya Yang di-Pertua Negeri, namun tetap menghargai sambutan Hari Keputeraan baginda setiap tahun.
Katanya, ia memberi lambang bahawa rakyat Malaysia berpayung di bawah Ketua Negara iaitu Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Ini memberi makna yang begitu penting bagi kita di Sarawak khususnya di bahagian Samarahan kerana banyak maklumat penting dengan latar belakang Raja kita yang tidak kita ketahui.
“Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama menyaksikan latar belakang yang berkaitan termasuk juga peralatan di Raja yang ada pada hari ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pameran tersebut di Summer Mall di sini, hari ini.
Julaihi berkata, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang perpaduan bagi rakyat Malaysia di mana saja berada.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai khususnya di Bahagian Samarahan dan Kuching dapat bersama menyaksikan pameran tersebut yang bermula hari ini hingga 8 September 2024.
“Jadi ini merupakan satu perkongsian maklumat yang amat penting sekali,” katanya.
Beliau memaklumkan bagaimanapun pameran berkenaan hanya dapat disaksikan menerusi peralatan digital sahaja, yang mungkin disebabkan peraturan tertentu yang menyebabkan ia tidak dapat dilihat secara dekat atau fizikal.
“Saya percaya pameran yang dibawa dalam bentuk digital ini sudah mencukupi di mana ia memaparkan (maklumat) secara terperinci,” katanya sambil memberitahu bahawa maklumat yang disediakan adalah dari Muzium Diraja.
|