(Dari kiri) Wong, Abdul Karim, Christina, Tan pada pelancaran kempen ‘Discover Borneo: Destinasi Kegemaran Malaysia’ pada Pameran MATTA Kuala Lumpur 2024 hari ini.
KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sabah secara rasminya melancarkan kempen kerjasama mereka, ‘Discover Borneo: Destinasi Kegemaran Malaysia’ sempena Pameran MATTA Kuala Lumpur 2024.
Diadakan dari 6 hingga 8 September 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), pameran itu berfungsi sebagai platform ideal untuk inisiatif itu.
Pengunjung boleh melawat gerai STB di Dewan 2 hingga Dewan 4, Aras 1, tersedia sehingga 8 September.
Majlis pelancaran itu dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.
Kehadiran mereka menekankan kepentingan perkongsian itu dalam mempromosikan Borneo sebagai destinasi bersatu, dengan Sarawak sebagai 'Gerbang ke Borneo' melalui pintu masuk utama seperti Kuching, Miri, dan Sibu.
Sarawak menyasarkan untuk menarik empat juta pelawat pada 2024 merangkumi pelancong asing dan domestik.
Pada Julai lepas, Sarawak telah menerima 2,838,572 pelawat, terdiri daripada 1,763,815 pelawat asing dan 1,074,757 pelawat domestik.
Abdul Karim dalam ucapannya berkata, “Kerjasama Sarawak dengan Lembaga Pelancongan Sabah bukan sekadar mempromosikan pelancongan, ia adalah mengenai perkongsian hati dan jiwa Borneo dengan dunia.
“Bersama-sama, kami mencipta naratif menarik yang meletakkan Borneo sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia, memikat hati pengembara dari Semenanjung Malaysia dan seterusnya.”
Menurutnya, kerjasama sempena Pameran MATTA Kuala Lumpur 2024 menjadi pusat tumpuan untuk mempersembahkan kepelbagaian seni, budaya, makanan dan minuman kedua-dua negeri.
Perkongsian strategik itu katanya, bertujuan untuk meningkatkan daya tarikan Borneo sebagai destinasi tunggal, menjadikan perjalanan antara Sarawak dan Sabah lebih mudah diakses dan mempamerkan kekayaan tawaran Borneo.
Dengan lebih 170,000 hadirin dan jumlah jualan melebihi jangkaan, pameran itu menekankan meningkatkan permintaan dan peluang dalam pasaran.
Kempen ‘Discover Borneo: Destinasi Kegemaran Malaysia’ meletakkan Borneo secara strategik sebagai destinasi pelancongan global utama dengan menonjolkan tarikan unik dan saling melengkapi di Sarawak dan Sabah.
Hadir sama Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong dan pengerusi penganjur Datuk Tan Kok Liang.
|