KUCHING: Ceramah bertajuk 'Punan Stories of Their History' akan diadakan di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini pada 15 September ini, jam 2 petang.
Ceramah anjuran Rakan Muzium Sarawak (FoSM) dan Jabatan Muzium Sarawak itu akan disampaikan oleh Calvin Jemarang, yang bakal berkongsi pandangannya dan mendedahkan kekayaan warisan orang Punan.
"Ini adalah peluang untuk mendengar secara langsung daripada ahli masyarakat Punan dan mendapatkan perspektif baharu tentang warisan mereka," kata FoSM dalam satu kenyataan.
Beliau yang berketurunan Punan, dilahirkan di Belaga dan dibesarkan di daerah Kakus Tatau, ialah salah seorang daripada 12 pengasas bersama Persatuan Kebangsaan Punan dan bersemangat untuk mendokumentasikan dan memelihara sejarah Punan.
Bukunya “Punan Myths and Legends”, telah mencetuskan minat dan perdebatan orang ramai tentang identiti dan sejarah sebenar Punan.
Ceramah Calvin akan menelusuri sejarah orang Punan sebelum 1600-1861 dan dari 1861 hingga 1946.
Beliau akan membincangkan perkara ini dalam konteks pembangunan Klireng, yang mempunyai peranan budaya dan rohani yang penting dalam masyarakat Punan. Calvin juga akan menyerlahkan peranan dan pengaruh orang politik, penghijrahan dan konflik.
|