CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 37004|Reply: 0

[Sabah] Program pemulihan terus diperkasa, inisiatif kerajaan turun kadar penagihan dadah

[Copy link]
Post time 11-9-2024 05:17 PM | Show all posts |Read mode


PENGHARGAAN: Shamsul (tiga kiri) menyampaikan sijil tamat Latihan Kursus Modular IKBN kepada salah seorang klien PUSPEN pada majlis itu.

PAPAR: Komitmen tinggi kerajaan dalam mencapai sasaran penurunan kadar penagihan dadah di seluruh negara terus diperkemaskan melalui pelaksanaan pelbagai program pemulihan dan rawatan secara berterusan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai agensi yang bertanggungjawab menyusun latihan berterusan dan komprehensif.

Katanya, ia melibatkan teknik rawatan, kaunseling dan pengurusan penagih dadah yang terkini melalui latihan dalam negeri dan luar negara.

Menurutnya, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) memainkan peranan penting bukan sahaja menjadi tempat untuk membebaskan individu daripada ketagihan dadah malah, menyediakan kemahiran, sokongan psikososial, spiritual dan bimbingan rohani.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan itu bagi membantu mereka yang menjadi klien di PUSPEN kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.

"Sebenarnya proses latihan dalam komuniti bukan baharu kepada AADK kerana lebih 60,000 klien kita berada di komuniti melalui program yang disusun rapi oleh kurikulum sedia ada," katanya sempena Program Ramah Mesra Bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri di PUSPEN Papar di sini hari ini.

Shamsul berkata, bagi menjayakan usaha pemulihan dadah di seluruh negara, ia  memerlukan kerjasama semua masyarakat termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli keluarga supaya klien mendapat sokongan untuk membantu mereka terus berjuang dalam proses kepulihan dadah.

"Saya harap semua pihak sama ada golongan pemimpin, ahli akademik dan juga masyarakat dari pelbagai peringkat supaya memberi keyakinan kepada AADK sebagai agensi yang diberi tanggungjawab untuk memulihkan serta menyelesaikan isu dadah.

"Kita percaya dan yakin atas keupayaan dan pengalaman AADK dengan pegawai terlatih serta kemudahan fasiliti yang ada, mereka dapat melaksanakan amanah ini," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU)baharu Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) baru-baru ini akan meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan dadah serta menggalakkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Menurutnya, antara inisiatif yang diperkemaskan termasuklah program pemulihan bersepadu, program rawatan dan pemulihan secara kesukarelaan, sokongan psikososial dan bantuan pemulihan yang lebih komprehensif.

"Diharapkan dengan pelaksanaan akta ini, kita dapat melihat penurunan dalam kadar penagihan dadah serta meningkatkan kejayaan proses pemulihan penagih.
"Kami akan terus menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan bagi memastikan program-program ini berjaya mencapai matlamatnya.

"Melalui kelulusan RUU ini juga, pelbagai inisiatif baharu dapat diperkemaskan termasuklah program pemulihan bersepadu, program rawatan dan pemulihan secara kesukarelaan, serta sokongan psikososial yang lebih komprehensif," katanya.

Pada majlis itu, seramai 20 klien PUSPEN Papar dianugerahkan sijil tamat Latihan Kursus Modular Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) menerusi Modul Asas Pendawaian Elektrik dan Asas Penyelenggaraan Penghawa Dingin dengan kerjasama IKBN Kinarut di sini.

Beliau berkata, penglibatan para klien sehingga berjaya memperoleh sijil kemahiran membuktikan komitmen, usaha gigih dan dedikasi dalam menambah ilmu dan kemahiran.

Pihaknya turut berharap melalui latihan berkenaan, ia menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak kejayaan dan seterusnya menyokong proses kepulihan setiap klien di PUSPEN.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok dan Pengarah PUSPEN Papar Roswati Apin.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 11:26 PM GMT+8 , Processed in 0.317016 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list