Lokasi seorang remaja terjatuh dari Jambatan Sungai Merah, hari ini.
SIBU: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sungai Merah di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan bahawa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terdiri daripada lapan anggota bomba diketuai PBK II Terrance Jimbun berserta sebuah jentera FRT bergegas ke lokasi yang sejauh tiga kilometer dari balai.
"Namun sebelum pasukan penyelamat tiba, mangsa telah diselamatkan oleh orang awam yang bertindak pantas menggunakan galah panjang untuk menarik remaja itu dari dalam air.
"Mujurlah mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut," katanya dalam kenyataan media.
Susulan itu katanya, pihak bomba menyerahkan mangsa kepada polis dan pasukan paramedik dari Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Operasi penyelamatan tamat dengan anggota bomba kembali ke balai pada jam 9.35 pagi.
|