CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 11447|Reply: 0

[Sarawak] Pelabuhan Miri baharu bakal dilengkapi teknologi tercanggih

[Copy link]
Post time 20-9-2024 10:20 AM | Show all posts |Read mode


Abang Johari menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik perasmian upacara pecah tanah projek kerja-kerja mengorek dan berkaitan di delta Batang Baram di Pelabuhan Miri di Kuala Baram, hari ini.

MIRI: Pelabuhan Miri baharu yang akan dilengkapi teknologi tercanggih, apabila siap kelak bakal menjadi pemangkin ekonomi dan pembangunan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis pelabuhan itu mampu menyaingi Pelabuhan Singapura.

Menurutnya, Pelabuhan Miri bukan sekadar lokasi persinggahan kapal, malah mampu mengubah kawasan pelabuhan laut dalam di delta Kuala Baram itu menjadi pusat peranginan tarikan pelancongan.

Katanya, Pelabuhan Miri dibangun menggunakan kaedah baharu dalam kejuruteraan iaitu Building Information Modeling (BIM) yang sudah digunakan di negara-negara maju di Eropah yang disebut sebagai Building Research Establishment Environmental Assessment Method (BREEAM) dan ia menelan kos pembinaan sehingga RM208 juta.

Abang Johari berkata, apabila projek itu dikemukakan semula kepada beliau sebaik menjawat jawatan Premier (Ketua Menteri Sarawak ketika itu), beliau telah membuat kajian sendiri ke atas projek Pelabuhan Miri dan melihat daya maju ekonominya iaitu keupayaan perniagaan dan inisiatif untuk menjana hasil dan keuntungan mampan dalam jangka panjang.

"Maka, dengan itu saya berani untuk melabur RM200 juta hingga RM300 juta kerana ia akan dibayar balik (dalam jangka panjang).

"Dengan Miri yang akan memiliki  pelabuhan, marina, kapal-kapal yang banyak, ia akan berubah menjadi sebuah bandar raya yang amat cantik dan membangun.

"Seiring dengan Miri yang merupakan bandar raya peranginan, kita boleh mewujudkan pakej pelancongan baharu menerusi kapal persiaran dan menarik pelancong untuk singgah di Miri dan dengan pelancongan ini, kita akan ada resort baharu, kita bangunkan hotel tepi laut dan semakin ramai yang datang ke Miri.

"Apabila ekonomi meningkat, maka kita dapat membangun dengan baik (pesat). Ini bayangan selepas 2030 kelak.

"Sehingga ke detik 2030, kita buat dahulu Pelabuhan Miri yang baharu ini," ujarnya ketika merasmikan upacara pecah tanah bagi cadangan projek kerja-kerja mengorek dan berkaitan di delta Batang Baram di Pelabuhan Miri di Kuala Baram dekat sini, hari ini.

Fasa pertama projek itu dijangka siap Disember 2026.

Mengenai projek tersebut, Abang Johari memberitahu, menerusi kaedah BREEAM masalah mendapan yang kerap berlaku di kuala Batang Baram akan dapat diatasi dengan pembinaan tembok penghadang sepanjang enam kilometer di kedua-dua hala yang menghala ke laut dalam, sekali gus membentuk satu 'terusan.'
Langkah itu katanya, akan menghalang mendapan terkumpul di kuala sungai kerana ia akan dikorek dan disalur serta ditimbunkan di sebalik tembok yang dibina itu.

"Lama-kelamaan ya akan menjadi dataran tanah baharu yang boleh dibangunkan sebagai resort seperti di Dubai.

"Di kawasan Palm di Dubai, ia ditembok sebaliknya tidak di Miri kerana ia berlaku semula jadi (disebabkan mendapan).

"Manakala laluan baharu yang dikorek itu kelak akan mempunyai kedalaman sehingga 25 meter yang membolehkan kapal-kapal pengangkut besar dan kapal kargo masuk melaluinya dan singgah di Pelabuhan Miri," jelas beliau.

Selain itu katanya, pelabuhan komersial itu kelak akan menjadi hab eksport untuk komoditi utama Sarawak seperti minyak kelapa sawit dengan kos lebih rendah, namun mempunyai margin pasaran (bagi keuntungan) yang tinggi.

Ia juga boleh menyediakan tempat penyimpanan karbon untuk tujuan eksport yang mencukupi, katanya.

Abang Johari menambah, Pelabuhan Miri baharu juga akan dibangunkan dengan sistem 'conteneurisation' iaitu sistem canggih berkomputer bagi pemunggahan dan susun atur kontena kapal kargo yang akan dilakukan secara automatik oleh kren menggunakan mesin yang dikawal menggunakan komputer.

Bagaimanapun katanya, pembangunan itu akan terus dinikmati jika rakyat Sarawak kekal bersatu dan terus memberi mandat kepada pemerintah sedia ada yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membangunkan Sarawak.

"Asalkan GPS, kalau orang lain saya tidak tahu.

"Selagi saya (GPS) ada, kita ada idea baharu yang dinamakan inovasi di mana kita mencari cara yang luar daripada kotak (untuk membangunkan Sarawak)," katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri Datuk Paulus Palu Gumbang yang juga ADUN Batu Danau serta menteri-menteri Kabinet Sarawak yang lain.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-2-2025 03:50 PM GMT+8 , Processed in 0.487765 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list