Abang Johari menerima cenderamata daripada Paulus (kanan) pada upacara pecah tanah tersebut, sambil disaksikan Uggah (empat kanan), Lee (tiga kiri) dan yang lain di Miri, hari ini. - Gambar Penerangan
MIRI: Pendapatan Sarawak pada tahun ini dijangka meningkat berbanding tahun lalu dan pengumuman berita baik itu akan dibuat pada November kelak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan melakukan pembentangan belanjawan pada November kelak (Persidangan Dewan Undangan Negeri) dan perkara tersebut akan diumumkan pada masa itu.
Ketika ditanya mengenai peratus kenaikan pendapatan Sarawak sehingga September tahun ini, Abang Johari berkata: "Saya sebutkan tanda-tanda mungkin ia (pendapatan) melebihi tahun lepas."
"Kita akan melakukan (pembentangan) bajet pada bulan 11 (November).
"Tunggu bulan 11 (November)," katanya ringkas.
Pendapatan Sarawak bagi 2023 mencecah RM13.3 bilion iaitu menyaksikan peningkatan berjumlah RM200 juta daripada tahun sebelumnya.
"Bank Dunia telah mengiktiraf kita sebagai negeri berpendapatran tinggi dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2023 dan 2024.
"Tahun baru, 2025, rasa-rasa sayalah (bagi kali ketiga). Tahun ini (pendapatan) lebih daripada tahun lepas.
"Sehingga kini (September), saya rasa kita dapat capai lebih baik (daripada sebelumnya)," ujar Abang Johari, terdahulu dalam ucapannya di upacara pecah tanah projek pengorekan dan kerja-kerja berkaitan di Delta Batang Baram, di Pelabuhan Miri di Kuala Baram, dekat sini.
Katanya, jika keadaan ekonomi Sarawak terus berkembang dengan baik maka kerajaan akan dapat membangunkan negeri ini dengan lebih baik termasuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dengan merancakkan lagi pembangunan di kawasan kampung-kampung dan rumah panjang.
Dalam perkembangan lain, mengenai Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak sudah ada perancangan untuk menyalurkan gas bagi memenuhi keperluan negeri ini.
"Bukan sahaja menjadi bahan api tetapi juga menjadi keperluan untuk kita membangunkan industri petrokimia.
"Ini bermakna industri di mana gas ini menjadi pit stop dan kita kemudian membangunkannya," ujar beliau pada sidang media yang sama.
"SGR ini akan bermula dari utara ke selatan bermakna dari Miri hingga ke Kuching.
"Ini adalah pelaburan yang besar yang harus kita sediakan, untuk kita menyalurkan bahan gas bagi pembinaan industri dan juga untuk kita menjana tenaga," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Abang Johari menekankan, meskipun masih dalam rundingan dengan pihak PETRONAS namun undang-undang Sarawak jelas menyatakan bahawa gas adalah hak negeri ini dan Sarawak akan menguruskannya.
"Bermakna kita akan membangunkan SGR termasuk di Kuala Baram, dengan pembinaan turbin gas terbaru di sini," katanya.
Sarawak menerusi syarikat minyak dan gas miliknya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) membangunkan loji kuasa turbin gas atau Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) dengan tenaga 400 megawatt (MW) di Miri.
Miri telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada empat hab gas yang akan menyediakan akses bekalan gas yang berpatutan, boleh dipercayai dan tenaga bersih ke seluruh negeri di bawah SGR.
Tiga hab lain yang turut dikenal pasti ialah Bintulu, Samalaju dan Kuching.
Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Miri Dato Paulus Palu Gumbang yang juga ADUN Batu Danau serta menteri-menteri Kabinet Sarawak yang lain.
|