SUMBANGAN: Jeffery ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang keluarga pelajar.
PUTATAN: Belia yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti perlu memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu supaya menjadi warganegara berdaya saing dan cemerlang.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, kejayaan melanjutkan pengajian ke menara gading adalah satu kesempatan untuk mencapai cita-cita yang diinginkan.
Katanya, tidak semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dapat meneruskan pengajian ke universiti.
“Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka dapat melanjutkan pengajian ke universiti, sekali gus memperoleh pekerjaan yang baik pada masa depan.
“Justeru, pelajar yang berada di universiti perlu meluaskan ilmu pengetahuan mereka dan mengikuti semua program akademik yang diadakan sehingga tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kewangan kepada 30 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti, di sini semalam.
Menurutnya, sumbangan kewangan ini adalah Tabung Pendidikan UMNO Malaysia bagi meringankan beban keluarga pelajar khususnya golongan kurang berkemampuan.
Katanya, berada di universiti bukan setakat belajar ilmu akademik tetapi ia merangkumi peningkatan kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam pelbagai aktiviti anjuran universiti.
“Keputusan akademik semata-mata tidak mampu menjanjikan kemajuan, pekerjaan atau kedudukan pada masa hadapan.
“Universiti adalah langkah awal bagi mendidik diri mempelajari asas kehidupan dan membina jaringan komunikasi serta meningkatkan pembangunan diri,” katanya.
|