KUCHING: Tiga sekawan mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merompak dua wanita Indonesia di sebuah kafe di Jalan Matang di sini pada 8 September lalu, dengan bersenjatakan sebilah parang.
Muhammad Harry Moses Bodus, 36, Erwin Reynolds Majol, 29, dan Yazid Syukry Masri, 36, masing-masing membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Iris Awen Jon sebaik didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun sama.
Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.
Mengikut pertuduhan, tiga lelaki terbabit bersama seorang lelaki yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap kedua-dua mangsa pada 8 September 2024, sekitar jam 5.16 pagi di sebuah kafe di Jalan Matang di sini.
Semasa kejadian rompakan, kesemua tertuduh didapati mengambil wang tunai RM750, dua telefon bimbit dan beberapa dokumen pengenalan milik mangsa.
Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan mereka adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Kesemua tertuduh dilihat hanya mengangguk faham dan tidak mengemukakan sebarang rayuan mengenai jaminan.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh direman lanjut dan menetapkan pengurusan kes pada 10 Oktober 2024, selain menasihati kesemua tertuduh untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam.
Kes disiasat oleh Inspektor Mohammad Fadini Noni.
|