Yii (dari dua kiri), Henry, Dr Sim dan Xing disertai yang lain menyalakan tanglung dan upacara memotong kek.
KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan mengukuhkan hubungan antara Sarawak dan China bagi memastkan kemakmuran untuk generasi akan datang.
Perkongsian strategik China katanya telah memainkan peranan penting dalam memajukan pembangunan ekonomi Sarawak.
“Sehingga kini, China telah melabur lebih RM19.9 bilion merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan solar, keluli dan berasaskan kayu.
“Pelaburan ini telah menjana lebih 10,000 pekerjaan dan memberikan rangsangan yang sihat kepada ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Makan Malam Memperingati Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dan Festival Pertengahan Musim Luruh di Shangri-La Seafood, CityOne Megamall di sini malam Jumaat.
Teks ucapan Abang Johari dibacakan oleh wakilnya Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Abang Johari dalam ucapannya turut menegaskan bahawa hubungan ini amat penting untuk mencapai matlamat pembangunan Sarawak.
“Kerajaan kita membayangkan ekonomi digital yang kompetitif dan menyasarkan untuk meletakkan Sarawak sebagai hab serantau bagi pengeluaran dan pengedaran tenaga hijau.
“Kita telah melihat kejayaan besar dalam sektor tenaga hidro dengan projek seperti Bakun, Murum dan Baleh yang menunjukkan potensi Sarawak sebagai kuasa tenaga di ASEAN,” katanya.
Abang Johari turut menekankan hubungan kukuh antara China dan Sarawak, yang telah memupuk kerjasama dalam pembangunan modal insan di samping kerjasama ekonomi.
Sebagai contoh katanya perbincangan sedang dijalankan untuk Universiti Fudn membuka kampus cawangan di Sarawak.
Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk mengubah Sarawak menjadi kuasa tenaga hijau serantau dan perkongsian strategik dengan China penting untuk merealisasikan wawasan ini.
“Saya mengagumi dasar Pintu Terbuka Deng Xiaoping dan optimis dengan kerjasama berterusan kami, terutamanya kerana Presiden Xi Jinping telah menyatakan minat untuk melawat semula Sarawak berikutan lawatan awal beliau ke Sibu,” katanya.
Dalam pada itu majlis tersebut dianjurkan Persatuan Perniagaan Import Eksport Kuching China (KCTIEA) bersama Konsulat Jeneral Republik Rakyat China.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Henry Harry Jinep mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden KCTIEA, Datuk Yii Ming Tang dan Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Weiping.
|