![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240924/kch-ub240924-pg-motpelan-p1.jpeg)
Dennis (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Lee sambil disaksikan yang lain.
KUCHING: Makmal Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu yang dilancarkan secara rasminya semalam berperanan membentuk masa depan pengangkutan Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata makmal yang dianggotai wakil daripada 56 agensi kerajaan dan sektor swasta akan bekerjasama dalam membangunkan rangka kerja pengangkutan moden dan mampan di negeri ini.
"Pelan Induk 2025-2040 bertujuan membentuk rangka kerja komprehensif untuk pembangunan sistem pengangkutan yang bersepadu, moden dan mampan yang memenuhi keperluan Sarawak yang sentiasa berkembang.
"Memang sebelum ini ada pelbagai Pelan Induk Bandar dan Pelan Pembangunan Wilayah yang menyentuh aspek pengangkutan (tetapi) tidak ada satupun yang benar-benar menyatukan atau menyelesaikan kerumitan serta peluang-peluang dalam sektor ini.
“Pelan Induk ini bertujuan menangani jurang ini dan merangka satu cara yang bersatu dan strategik ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) hari ini.
Lee menekankan sektor pengangkutan adalah tulang belakang keterangkuman ekonomi dan sosial Sarawak, ia penting dalam menyokong industri-industri utama seperti perkilangan, pertanian, pelancongan dan perkhidmatan.
Beliau menambah pengangkutan yang cekap akan memudahkan pergerakan orang ramai dan barangan, merancakkan perdagangan serta pelaburan dalam pelbagai industri termasuk perkilangan, pertanian dan pelancongan.
Katanya lagi, kementeriannya telah memulakan pembangunan pengangkutan transfomatif.
"Bagi pengangkutan darat, kita memodenkan sistem pengangkutan awam dengan projek-projek seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Inisiatif ini akan mentaktifkan semula landskap pengangkutan kita dan bertindak sebagai pendorong dalam pembangunan rangkaian pengangkutan awam yang lancar dan bersepadu.
"Ini tidak hanya melibatkan bas-bas dan van-van tetapi termasuk ruang-ruang yang mesra pejalan kaki, pengangkutan bukan motor dan pembangunan berorientasikan transit," jelasnya.
Menurut Lee, inisiatif ini menuntut kerjasama semua sektor yang berada dalam Pelan Induk Bandar dan Pelan Pembangunan Wilayah kerana pengangkutan yang saling berkaitan dengan banyak industri, justeru input itu sangat bernilai untuk proses tersebut.
Selain itu katanya, dalam sektor maritim dan sungai, Sarawak kaya dengan rangkaian sungai yang luas, menawarkan peluang-peluang untuk pertumbuhan perdagangan, pelancongan dan perindustrian termasuk industri minyak dan gas.
Justeru ujarnya, kementerian itu komited memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber yang ada terutama dalam aspek kelestarian alam sekitar.
Beliau turut menekankan pentingnya Sarawak memperkukuhkan kesalinghubungan udara menerusi penubuhan syarikat penerbangan sendiri dan perancangan membina lapangan terbang antarabangsa yang baharu.
"Penerbangan, satu lagi sektor utama kerana keadaan geografi Sarawak yang luas dan kesalinghubungan sangat penting.
“Bagi pengangkutan udara kita telah dan sedang mengalami kenaikan kadar tambang dan penerbangan masuk dan keluar dari Sarawak tidak mencukupi.
"Bagi menangani perkara ini, Sarawak telah melangkah ke hadapan dengan inisiatif untuk menubuhkan syarikat penerbangan milik sendiri dengan tujuan meningkatkan kesalinghubungan udara bukan sahaja di Sarawak tetapi di serantau dan lebih jauh lagi," jelasnya.
Lee mendedahkan kementeriannya tidak hanya melihat kepada pembangunan pengangkutan di Sarawak tetapi sedang berusaha ke arah perhubungan subserantau dengan negara jiran iaitu Brunei Darussalam dan Indonesia bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan, perdagangan rentas sempadan serta pelancongan.
Hadir masa pada majlis pelancaran Makmal Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu itu adalah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Pengarah Perunding Bumi Jasa Sdn Bhd Wan Alwi, Pengarah Surbana Jurong Dennis Tan dan Pengarah Jurutera Jasa Felix Ang.
|