Para peserta BIKF dan pihak penganjur merakam gambar bersama (duduk dari kiri) Anuar, Yakup, Iskandar, Haidar dan Abang Zainuddin.
BINTULU: Peserta Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu Sarawak (BIKF) Ke-17 perlu memanfaatkan sepenuhnya festival ini untuk mengenali budaya serta kehidupan penduduk setempat dengan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti yang diadakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, banyak aktiviti menarik disediakan sepanjang minggu ini melibatkan peserta, antaranya lawatan ke tiga kampung di Nyalau iaitu perkampungan nelayan di tepi laut yang terletak 60 kilometer (km) dari bandar Bintulu.
Katanya, ia perkampungan Nyalau Hulu, Tengah dan Kuala berhampiran kawasan pantai berpasir luas yang sesuai untuk menerbangkan layang-layang dan peluang untuk para peserta mengenali cara hidup penduduk tempatan serta adat tradisinya iaitu sambutan 'Makan Tahun'.
Beliau berkata, aktiviti lain yang turut diperkenalkan ialah persembahan malam kebudayaan merangkumi tarian, lagu rakyat, ratu kebaya, glamping untuk pemasangan khemah tercantik, perarakan peserta dan lain-lain.
"Kita menggalakkan peserta memanfaatkan sepenuhnya festival ini dan mengambil bahagian secara aktif," katanya berucap bagi mengalu-alukan ketibaan peserta BIKF oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Iskandar berharap festival ini akan menjadi kenangan indah untuk peserta dan penduduk setempat serta dapat dikongsi melalui gambar dalam laman sosial masing-masing.
Ujarnya, penyertaan peserta adalah kejayaan kepada festival ini sekali gus mereka dapat mempelajari budaya tempatan, menikmati makanan dan menerbangkan layang-layang di langit Bintulu dengan tema BIKF 'Unity Through Flying'.
"Saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan peserta semua ke BIKF Ke-17 2024 ini," katanya.
Katanya, festival yang disertai 28 negara itu telah disertai setiap tahun oleh para peserta yang diibaratkan kepulangan semula termasuk peserta baharu dari Amerika Syarikat serta dua kru televisyen dari Perancis.
"Kita sangat teruja untuk mempunyai kumpulan peserta yang begitu terkenal di sini bersama kita hari ini," katanya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey dan Penolong Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) Anuar Aikne.
|