
Ting (tiga kiri) ketika mengunjungi pameran dadah yang diadakan sempena program tersebut di Dewan Komuniti Sibu Jaya, baru-baru ini.
SIBU: Program Komuniti Bebas Dadah telah diadakan di Dewan Komuniti Sibu Jaya, baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Sibu dengan kerjasama Komuniti MADANI Parlimen Lanang itu adalah sempena dengan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Lanang (DUN Dudong dan DUN Bukit Assek).
Program itu bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti di Parlimen Lanang dalam pendidikan pencegahan dadah agar tidak berlakunya aktiviti yang tidak sihat sekali gus menjadikan komuniti selamat dan bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Selain itu, para pengunjung turut diberi pendedahan berkaitan kesan buruk penyalahgunaan dadah.
Program itu dirasmikan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying bagi mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Dato Sri Tiong King Sing.
Ting dalam ucapannya, menyeru masyarakat setempat agar bersama-sama pihak berkenaan membanteras gejala dadah dalam kalangan komuniti.
Beliau berkata, kesedaran mengenai bahaya dadah harus dididik di semua peringkat usia dalam usaha mewujudkan komuniti bebas dadah.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Sibu Zaini Morshidi.
|