Ia bagi membolehkan penerima tiada akaun bank melakukan penunaian bantuan masing-masing
Gambar hiasan
"Sekiranya penerima/waris berdaftar tidak dapat hadir di lokasi bayaran pada tarikh ditetapkan, penunaian masih boleh dibuat di semua cawangan BSN berhampiran sebelum 31 Disember 2024.”
Perbendaharaan Malaysia Sarawak
KUCHING: Kaunter pembayaran secara tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 akan dibuka di kawasan pedalaman Sarawak bagi membolehkan penerima tiada akaun bank melakukan penunaian bantuan masing-masing.
Perbendaharaan Malaysia Sarawak menerusi kenyataan akhbar berkata kaunter itu akan dibuka oleh Kementerian Kewangan menerusi kerjasama strategik dengan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PM Sarawak), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kerajaan Sarawak serta agensi-agensi berkaitan.
Pembukaan kaunter itu katanya dibahagikan mengikut zon iaitu Zon Selatan (Sri Aman, Betong dan Samarahan) dan telah mula dibuka pada 19-20 Oktober lalu (Dewan Masyarakat Krian dan Dewan Mesra Simunjan.
Pada 23 November 2024 kaunter penunaian STR dan SARA dibuka di Pejabat Daerah Lingga dan Dewan Persatuan Nelayan (PENESA) Kawasan Sebuyau manakala di Dewan Masyarakat Tebedu, kaunter sama akan dibuka selama dua hari (23-24 November 2024).
Bagi Zon Tengah (Julau dan Mukah) lokasi kaunter penunaian ialah di Stadium Perpaduan Dalat dan Dewan Masyarakat Daro pada 9 November 2024 manakala pada 16 November 2024, kaunter sama akan dibuka di Dewan Masyarakat Julau dan Laman Pakan (berdekatan Dewan Masyarakat Pakan).
Bagi Zon Utara (Bintulu dan Miri) kaunter penunaian STR dan SARA telah dibuka di beberapa lokasi sejak 26 Oktober 2024 hingga 9 November 2024.
Lokasi kaunter dibuka bagi zon utara ialah Dewan SMK Bakong, Miri (26 Oktober), Dewan Masyarakat Bekenu (26-27 Oktober), Dewan SJKC Kee Te, Long Lama (26-27 Oktober), Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha Apau Koyan, Sungai Asap (2-3 November), Dewan SK Tatau (2-3 November) dan Balai Raya Sebauh (9 November).
Bagi melancarkan program penunaian, pada penerima/waris berdaftar diwajibkan hadir pada tarikh ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.
Masa penunaian STR dan SARA di kaunter tersebut ialah bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan keutamaan diberikan kepada penerima warga emas iaitu 60 tahun dan ke atas dengan penyediaan laluan atau kaunter berasingan.
Penerima atau waris juga mesti membawa kad pengenalan MyKad/MyKid/Surat Beranak asal bagi tujuan penunaian di lokasi tersebut.
"Sekiranya penerima/waris berdaftar tidak dapat hadir di lokasi bayaran pada tarikh ditetapkan, penunaian masih boleh dibuat di semua cawangan BSN berhampiran sebelum 31 Disember 2024,” kata kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi Hotline BKK LHDNM 1-800-88-2747 atau Hotline STR MOR 03-8882 4565/ 03-8882 4566 atau laman wen https://bantuantunai.hasil.gov.my.
|