Mayat mangsa yang ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah di belakang sebuah pasar raya di Kuching semalam.-Gambar PDRM
KUCHING: Mayat seorang lelaki ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah di belakang sebuah pasar raya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pada 3 November 2024, jam 7.50 malam, pihak polis menerima satu panggilan daripada orang awam berkaitan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.
"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Sekama, Kuching bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati individu tersebut tidak memberi respons dan mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan.
"Pihak ambulans tiba di lokasi pada kira-kira jam 8.25 malam dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi tujuan bedah siasat.
Katanya lagi, satu kertas siasatan mati mengejut (SDR) telah dibuka berhubung kejadian tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihat orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan meminta individu yang menyaksikan insiden itu atau mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian agar menghubungi terus Pegawai Penyiasat SM Rogayah Abu Serah di talian 016-5779574 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
|