CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 44929|Reply: 0

[Sarawak] Penerbangan Batik Air KL-Bintulu gembirakan penduduk Bintulu

[Copy link]
Post time 5-11-2024 12:02 AM | Show all posts |Read mode


Pesawat Batik Air Boeing 737-800 yang membawa 110 penumpang dari Kuala Lumpur ke Bintulu diraikan dengan pancutan air setelah mendarat selamat di Lapangan Terbang Bintulu.

BINTULU: Penduduk pelbagai lapisan di Bintulu mengalu-alukan inisiatif penerbangan terus baharu ulang alik pesawat Batik Air dari Kuala Lumpur ke Bintulu dengan penerbangan sulungnya membawa 110 penumpang mendarat selamat semalam 1 November 2024 di Lapangan Terbang Bintulu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang (gambar) berkata, ini berita yang mengembirakan kepada penduduk setempat yang melihat pembukaan laluan ini akan menyelesaikan masalah lama dari segi tambang tinggi dan kekurangan tempat duduk serta menyediakan lebih banyak pilihan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Pelancaran laluan baharu Batik Air ini bukan sahaja membawa lebih banyak peluang perjalanan mampu milik ke Bintulu, bahkan memberi manfaat dalam promosi bersama sektor pengangkutan, pelancongan Sarawak dan Malaysia," katanya mengulas mengenai perkara terbabit di sini.

Pang berkata, inisiatif ini akan menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk melakukan laluan penerbangan sama ke Bintulu.

Katanya, laluan baharu ini akan mempunyai 10 penerbangan pergi-balik (Bintulu-Kuala Lumpur) setiap minggu dan masa penerbangan dijangka akan dioptimumkan pada masa hadapan untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Bintulu.

"Ketibaan Batik Air adalah isyarat baik untuk Bintulu, kita akhirnya mempunyai lebih banyak pilihan dan tidak lagi bimbang untuk mencari tempat duduk penerbangan ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Sarawak Toursim Board (STB) atas sokongan dan mengharapkan laluan baharu ini membawa lebih banyak manfaat dan peluang pembangunan ke Bintulu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata, penerbangan sulung ini adalah bukti komitmen Batik Air untuk menghubungkan wilayah Malaysia dan menyokong pertumbuhan Sarawak sebagai destinasi utamanya.

“Dengan mengembangkan rangkaian laluan ke bandar pesat membangun ini, kita menyasarkan untuk memperkasa pelancongan tempatan, sokongan pertumbuhan perniagaan serantau dan menyediakan pelancong dengan sambungan yang lancar dan menyeronokkan di seluruh Malaysia Timur dan seterusnya," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, Bintulu terkenal dengan eko-pelancongan dan industri penting menawarkan akses mudah kepada pelancong untuk menyaksikan landskap semula jadi Sarawak menakjubkan dan persekitaran perniagaan yang berkembang pesat.

Beliau berkata, sebagai pintu masuk pengembara luar dan tarikan kebudayaan, Bintulu mengalu-alukan pengunjung untuk meneroka ikonik destinasi seperti Taman Negara Similajau yang terkenal kerana pantainya bersih, hutan hujan subur menghijau, pelbagai hidupan liar terdiri kera ungka atau wak-wak atau Owa, burung enggang dan buaya muara.

Selain daya tarikan pelancongan katanya, Bintulu memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia, khususnya dalam pengeluaran Gas Asli Cecair (LNG) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menjadikannya destinasi yang tidak ternilai untuk pengembara perniagaan dan pelabur.

Laluan Kuala Lumpur–Bintulu beroperasi 10 kali seminggu, menyediakan perjalanan harian dengan pilihan mudah menggunakan pesawat Boeing 737 Batik Air yang selesa, tersedia dalam kedua-dua Kelas Ekonomi dan Perniagaan.

Dengan penambahan laluan ke Bintulu katanya, portfolio Batik Air Sarawak kini turut merangkumi destinasi utama Kuching dan Sibu, menawarkan pelancong lebih banyak pilihan untuk menerokai negeri terbesar di Malaysia serta akan menghubungkan Malaysia Timur dan Barat dengan lebih lancar.

Untuk butiran lanjut atau menempah tiket, layari laman sesawang rasmi Batik Air di www.batikair.com.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 06:22 AM GMT+8 , Processed in 0.044423 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list