Sungai Petani: Tingkat tiga rumah kedai yang dijadikan asrama pekerja asing di Taman Bandar Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.38 pagi.
Menurutnya, sepasukan sembilan anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Muhammad Rahimi Abu Hassan dikejarkan ke lokasi dengan bantuan BBP Aman Jaya serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani dan Bedong.
"Setibanya di lokasi didapati tingkat tiga bangunan itu terbakar dan api berjaya dikawal pada 9.51 pagi.
"Kebakaran itu menyebabkan kemusnahan 90 peratus membabitkan 19 katil dua tingkat serta kelengkapan peribadi pekerja warga asing terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana semua pekerja asing terbabit tiada di lokasi.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.