Sarawak tandatangani Perjanjian Kajian Bersama Tiga Hala Malaysia dengan PSJC Masdar dan firma tenaga bersih Gentari
Abang Johari (barisan belakang, tengah) bersama delegasi Kerajaan Sarawak yang lain menyaksikan majlis menandatangani MoU antara (dari kiri) Sharbini, Mohamed Jameel dan Sushil.
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) menandatangani Perjanjian Kajian Bersama Tiga Hala Malaysia dengan Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) Masdar dan firma tenaga bersih Gentari bagi menerokai potensi membangunkan projek solar terapung di Empangan Hidroelektrik Murum.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di bawah kerjasama strategik ini, ketiga-tiga pihak akan melakukan kajian selama 12 bulan, dengan matlamat untuk menjana sehingga 1 gigawatt (GW) kuasa solar daripada projek tersebut.
Perjanjian itu ditandatangani semalam di bandar raya Masdar di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan SEB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili manakala Masdar dan Gentari diwakili Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing, Mohamed Jameel Al Ramahi dan Sushil Purohit.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiusaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta Pengerusi SEB Dato Ibrahim Baki.
Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata projek mega itu dijangka meningkatkan pengeluaran tenaga diperbaharui Sarawak dengan ketara.
"Ini adalah pelaburan utama yang akan meningkatkan kapasiti tenaga diperbaharui Sarawak," katanya.
Beliau menambah, kerjasama itu berpotensi membuka jalan kepada projek lain untuk dibangunkan di Sarawak melalui kerjasama ekonomi antara Abu Dhabi dan Sarawak.
“Jika berjaya, ini akan menjadi kawasan pertama di dunia yang menjana kuasa sehingga 1GW daripada teknologi solar terapung.
“Ini sejajar dengan matlamat Sarawak untuk menghasilkan tenaga 10GW menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada pembangunan tenaga hijau,” jelasnya.
Menurut Abang Johari projek itu boleh menyumbang kepada matlamat yang lebih luas untuk mewujudkan grid tenaga serantau yang saling berkaitan melalui inisiatif Grid Asia, membolehkan Sarawak berkongsi tenaga diperbaharui dengan negara jiran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili mendedahkan bahawa SEB menandatangani MoU dengan Masdar untuk melaksanakan projek semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (COP28) di Dubai pada 2023.
“Kami telah mengenal pasti empat lokasi berpotensi bagi pemasangan solar terapung dengan kapasiti menjana antara 600 megawatt dan 1,000 megawatt tenaga solar,” kata Sharbini.
Terdahulu Abang Johari dan delegasi Kerajaan Sarawak mengadakan lawatan ke bandar raya Masdar, bandar raya bebas karbon dan hab teknologi terkemuka di Abu Dhabi.
Delegasi itu turut disertai Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dan pegawai kanan kerajaan negeri yang lain.
|