KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan dakwaan Sarawak Public Feedback melalui hantaran Facebook bertajuk 'Iban’s literature and book were burned by Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)' sebagai tidak berasas.
DBP menerusi kenyataan hari ini menegaskan, kenyataan itu tidak benar dan boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham serta memberikan tanggapan negatif terhadap DBP.
Menurutnya, DBP Cawangan Sarawak telah mengambil alih fungsi dan peranan Borneo Literature Bureau (BLB) pada 1977.
"Semasa pengambilalihan, semua bahan termasuk buku-buku yang diterima daripada BLB berjumlah 1,077 judul merangkumi 444 (BLB) dan 633 (Koleksi Sarawak, Brunei dan Sabah) masih tersimpan dan boleh dijadikan sebagai rujukan oleh penyelidik, penulis dan orang awam yang berhasrat ke Koleksi Borneo, DBP Cawangan Sarawak," katanya.
Malah katanya, sebagai sebuah agensi yang diberikan amanah untuk menjaga dan memartabatkan bahasa dan persuratan, DBP turut menjalankan penyelidikan dan pendokumentasian bahasa-bahasa sukuan dan cerita rakyat peribumi di Sarawak.
DBP katanya, telah menerbitkan buku Kamus Bahasa Sukuan seperti Kamus Bahasa Melanau Mukah-Melayu Dewan, Kamus Bahasa Iban-Melayu Dewan, Kamus Bahasa Vaie-Melayu Dewan dan Kamus Melayu Sarawak-Melayu Dewan.
Sementara itu, juga terdapat Daftar Kata Bahasa Vaie-Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu-Bahasa Kedayan, Daftar Kata Bahasa Melayu-Bahasa Melanau Dalat, Daftar Kata Bahasa Melayu-Bahasa Melanau Seduan, Daftar Kata Bahasa Melayu-Bahasa Kenyah Cebup, Daftar Kata Bahasa Melayu-Bahasa Tetaw, Daftar Kata Bahasa Bakong-Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Narum-Bahasa Melayu.
Antara senarai Buku Sastera Rakyat yang diterbitkan sebanyak 44 judul, antaranya Antologi cerita Rakyat Sarawak Telichu dan Telichai, Avun Hagang Batang Kayo, Kerena Dayang Petera, Nariak dan Puteri Kayangan, Buluh Perindu, Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Si Abu-Abu, Cerita Rakyat Iban dan Asap Kayu Lukai.
Selain itu katanya, DBP merupakan agensi yang bertanggungjawab menerbitkan Buku Teks Bahasa Iban bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk digunakan dan telah diajar secara rasmi di sekolah-sekolah di Sarawak.
Justeru, DBP menegaskan akan terus menjalankan penyelidikan, pemuliharaan dan penerbitan dalam memartabatkan bahasa sukuan, sastera rakyat dan keunikan yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
"Hasil dapatan ini dibentangkan setiap tahun pada Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang melibatkan penyertaan pengkaji, penggiat sastera, ahli akademik dan tokoh masyarakat di Bumi kenyalang," jelasnya.
DBP berkata, kenyataan dalam Facebook itu tidak akan menyekat usahanya untuk terus melestarikan dan memulihara khazanah, keunikan dan kebudayaan masyarakat Sarawak melalui pendokumentasian dan penerbitan buku yang akan menjadi tatapan generasi pada masa hadapan.
|