Pegawai JAS menunjukkan cara-cara pengujian bahan refrigeran menggunakan alat RI pada majlis tersebut. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak melaksanakan operasi bagi memburu kenderaan diesel yang melakukan pelepasan asap hitam berlebihan.
Timbalan Pengarah Kanan Operasi JAS Sarawak Mohamad Zaihan Lek berkata, operasi tersebut akan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Operasi bertujuan untuk memeriksa kenderaan bermotor khasnya berenjin diesel bagi memastikan pelepasan dari ekzos kenderaan mematuhi 50HSU seperti ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, (Pindaan) 2000.
“Pelepasan asap hitam berlebihan memberi kesan buruk kepada kualiti udara di bandar-bandar dan seterusnya memberikan kesan kesihatan tidak baik kepada manusia dan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Ops Gerak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 Peringkat Sarawak di Stesen Penguatkuasaan JPJ di KM59.5 Jalan Kuching-Serian dekat sini, hari ini.
Mohamad Zaihan, dari Januari 2024 hingga hari ini sebanyak 33 operasi telah dijalankan.
“Ia melibatkan pemeriksaan ke atas 287 kenderaan bermotor (diesel) dan sebanyak 47 syor kompaun telah dikeluarkan,” tegasnya.
Selain penguatkuasaan ke atas kenderaan berenjin diesel katanya, JAS Sarawak turut melakukan pemeriksaaan ke stesen-stesen servis bagi memastikan tiada penggunaan refrigeran (gas pendingin hawa).
Katanya, refrigeran yang digunakan harus sepertimana di dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020. “Pengujian bahan refrigeran ini adalah dibuat menggunakan peralatan Refrigerant Indentifier (RI),” katanya.
Jelasnya lagi, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pengurusan Refrigeran) 2020 selain melarang penggunaan refrigeran, turut menyatakan larangan ke atas pelepasan, pemindahan dan pelupusan refrigeran.
“Selain itu, keperluaan undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pengilang kelengkapan penyejukan atau penyaman udara dan keperluan syarat kelulusan penggunaan refrigeran juga dinyatakan di dalam peraturan ini, selain alternatif kepada penggunaan refrigeran,” katanya.
Operasi yang dijalankan serentak di seluruh negara hari ini turut disertai JPJ, JSPT, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
|