Edited by Vellfire at 23-11-2024 05:36 AM
LAHAD DATU: Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia ( PDRM) masih mempertahankan bahawa Pasukan Polis Marin (PPM) perlu berada di dalam PDRM.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain semasa menegaskan kenyataan itu berkata, walaupun terdapat kemungkinan unit ini akan diletakkan dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), PPM mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
“Melihat kepada kejayaan-kejayaan yang direkodkan sebelum ini, kita mengambil cakna terhadap Sabah terutamanya di pantai timur Sabah di mana banyak isu-isu kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan juga daripada maklumat penculikan dapat dikurangkan sejak 2020 sehingga hari ini.
“Alhamdulilah tiada lagi kes penculikan dan kita minta bahawa perkara ini terus dipantau dan diambil tindakan oleh PPM dan juga agensi- agensi yang berada dialam Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun PPM ke-77 di Markas Operasi PPM Wilayah (4) Lahad Datu.
Beliau berkata, PPM adalah tunggak dan pasak yang menjadikan keamanan perairan negara sentiasa terpelihara dan rakyat menikmati kemakmuran berterusan.
“Sambutan Hari Ulang Tahun ke-77 PPM yang dianjurkan di Sabah menunjukkan "omnipresence dan show of force" PPM di perairan Sabah.
“Selain itu memperlihatkan kekerapan operasi dan komitmen tinggi PPM menjalankan tugas kepolisan di perairan negara untuk mengawal keselamatan, pencerobohan dan juga eksploitasi idupan laut,” katanya.
Bercakap mengenai kejayaan PPM, beliau berkata, dalam tempoh kajian sepanjang 2024 dari Januari hingga 31 Oktober, PPM merekodkan kejayaan cemerlang dengan menumpaskan sebanyak 7,103 kes jenayah yang dilakukan di perairan Malaysia.
“Kesemua ini merekodkan nilai rampasan serta saman berjumlah RM210 juta bagi tempoh yang dinyatakan,” katanya.
PERIKSA: Razaruddin memeriksa barisan kawalan kehormat semasa sambutan Hari Ulang Tahun ke-77 PPM.
SIAGA: Aset PPM yang berada di perairan Sabah semasa sambutan Hari Ulang Tahun ke-77 PPM.
|