Penunggang motosikal nyaris dihanyutkan arus deras
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
TANGKAP layar video tular menunjukkan seorang penunggang motosikal berjaya diselamatkan orang awam dari dihanyutkan arus deras.
Jitra: Penunggang motosikal yang nyaris lemas diselamatkan sekumpulan pemuda ketika dihanyutkan arus deras di Kampung Manggol, Malau dekat sini.
Kejadian itu turut ditular di media sosial dan tindakan pantas beberapa lelaki menarik tangan mangsa turut mendapat perhatian warganet.
Saksi kejadian, Mohammad Faidhi Adam Rohaizat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang ketika dia bersama sekumpulan pemuda sedang melakukan pemantauan banjir.
Katanya, ketika itu, mangsa yang juga seorang lelaki yang menunggang motosikal di lokasi kejadian cuba meredah arus deras.
"Kami sudah melarangnya tetapi dia tetap meneruskan perjalanan sebelum dia tiba-tiba dihanyutkan arus deras.
"Lelaki itu dipercayai mahu ke rumah keluarganya yang dinaiki air akibat banjir di kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Faidhi Adam berkata, lelaki itu gagal mengawal motosikalnya menyebabkan ia terbalik dan mangsa hampir dihanyutkan arus deras.
"Lelaki itu bernasib baik apabila beberapa lelaki sempat memegang dan menarik tangannya daripada dihanyutkan arus yang ketika itu deras," katanya.
Menurutnya, penunggang motosikal itu berjaya dibawa ke tempat selamat tanpa mengalami kecederaan.
Disiarkan pada: November 28, 2024 @ 9:06pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1160313/penunggang-motosikal-nyaris-dihanyutkan-arus-deras
|