Peniaga bersyukur perniagaan dapat sambutan selepas video tular
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 27, 2024 @ 8:44am [email protected]

Peniaga mengambil kesempatan berniaga berlatar belakang sawah dan mata hari terbenam di kawasan sawah padi berhampiran landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH). - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir.
ALOR SETAR: "Mulanya saya saja seronok-seronok rakam video pemandangan di kawasan sawah padi ini sambil nampak kapal terbang lalu atas kepala tetapi saya simpan dulu video tu.
"Saya mula tularkan video berkenaan di aplikasi Tik Tok sejak Selasa lalu pemandangan tempat berniaga di sini, tak sangka ramai yang datang walaupun hanya dua jam setiap hari untuk merakam detik indah di sini," kata Farhan Ismat Jamaludin, 32.
Katanya, dia mula berniaga kecil-kecilan di jalan mini tar berhampiran Taman Nabira, Hutan Kampung itu pada Oktober lalu selepas menutup perniagaannya sebelum ini kerana tidak mendapat sambutan.
Menurutnya, kawasan itu terletak di kawasan sawah padi berhampiran dengan landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dan laluan pintas itu digunakan penduduk yang hendak ke Anak Bukit serta ke Hutan Kampung.
"Saya berniaga di sini bersama isteri, Nur Safa Aidawati Ahmad, 30, dan kakak ipar bermula jam 5 petang hingga 7.30 malam setiap hari ini manakala pada sebelah pagi, saya berniaga di Taman Aman.
"Lepas saya tular video kapal terbang lalu atas 'kepala', memang kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai terutama ketika cuti persekolahan waktu ini dan perniagaan saya bertambah maju," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Farhan Ismat, sebelum ini dia hanya berniaga jagung kukus dan minuman tetapi sudah menambah makanan lain termasuk yang dimasak ibunya untuk jualan.
Katanya, dalam sehari, dianggarkan 200 pengunjung datang ke kawasan itu semata-mata untuk merakam pemandangan indah selain melihat matahari terbenam serta melihat kapal terbang hendak mendarat dan berlepas dari landasan.
"Ada juga pengunjung yang datang dari jauh iaitu Langkawi, Lubuk Merbau di Padang Terap serta Taiping di Perak untuk merakam gambar di sini.
"Kapal terbang biasanya lalu di sini dua kali pada sebelah petang iaitu antara jam 4.30 dan 6.30 petang termasuk penerbangan Batik Air.
"Dan pada waktu itulah, pengunjung sudah ramai datang ke sini," katanya.
Peniaga lain, Shahizat Md Rasul, 42, berkata, dia mengambil kesempatan berniaga ayam gunting di kawasan itu selepas diberitahu Farhan Ismat kerana mereka berniaga pada sebelah pagi di Taman Aman, Anak Bukit.
Katanya, dia yang juga pesara tentera tidak menyangka sambutan yang diterima orang ramai sangat memberangsangkan walaupun dia hanya berniaga dua jam di situ.
"Pada waktu pagi saya berniaga di kawasan Taman Aman dan sebelah petang, saya berniaga di sini pada jam 5 petang hingga 7 petang," katanya yang menetap di Kampung Pida 2, Jerlun.
Sementara itu, pengunjung, Atikah Aisyah Muhammad, 23, berkata, dia bersama beberapa rakannya tidak melepaskan peluang merakam video dan gambar pemandangan di kawasan sawah padi itu dan memuat naik di media sosial.
Katanya, ia menjadi kenangan yang sangat cantik dan tidak menyangka kawasan itu itu juga mampu menjadi tarikan pelancong.
"Hanya tinggal beberapa hari saja lagi Tahun Melawat Kedah 2025 akan bermula dan moment ini adalah salah satu tarikan pengunjung untuk datang ke Kedah.
"Saya harap kawasan ini dapat dimajukan lagi supaya lebih cantik untuk menarik minat orang ramai datang ke sini," katanya yang juga pelajar sebuah universiti awam di sini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1341570/peniaga-bersyukur-perniagaan-dapat-sambutan-selepas-video-tular
|