CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 35354|Reply: 0

[Pulau Pinang] Khidmat tren khas Butterworth-Hatyai dapat permintaan tinggi

[Copy link]
Post time 29-12-2024 02:14 PM | Show all posts |Read mode
Khidmat tren khas Butterworth-Hatyai dapat permintaan tinggi

BERNAMA - Disember 29, 2024 @ 1:29pm



Perkhidmatan khas tren MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth-Hatyai-Butterworth mendapat permintaan tinggi dengan lebih 70 peratus tiket berjaya dijual pada hari pertama operasi. - BERNAMA




BUTTERWORTH: Perkhidmatan khas tren MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth-Hatyai-Butterworth mendapat permintaan tinggi dengan lebih 70 peratus tiket berjaya dijual pada hari pertama tren itu beroperasi.

Ketua Tugas-Tugas Khas (Hal Ehwal Antarabangsa) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Roshidi Yahaya, berkata 360 tempat duduk ditawarkan bagi setiap perjalanan yang beroperasi sebagai percubaan laluan hingga 5 Januari ini untuk menilai permintaan agar dapat dikembangkan ke beberapa lokasi tumpuan pada masa depan.

"Sambutan orang ramai setakat ini sangat menggalakkan. Tren ini berlepas dari Butterworth pada 7.40 pagi dan dijangka tiba di Hatyai sekitar 12.05 tengah hari waktu Thailand," katanya kepada pemberita selepas melepaskan tren khas pertama itu di Stesen Butterworth, di sini hari ini.

Beliau berkata, tren khas itu beroperasi setiap hari yang menghubungkan beberapa stesen utama, termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar dengan tambang sehala pada harga RM45.

Laluan baharu itu memberi peluang kepada penduduk utara Semenanjung dan pelancong dari Thailand untuk menikmati perjalanan yang selesa tanpa perlu menukar tren.

Roshidi berkata, pada masa sama, KTMB menjangkakan peningkatan kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia yang akan memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat dan negara.

Penumpang, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammad Nazarin, 30, berkata dia dan rakan, Shyahirah Abdul Salim, 31, mengambil peluang menggunakan perkhidmatan MySawasdee Edisi Penang untuk bercuti di Hatyai bagi merasai pengalaman menggunakan tren berbanding memandu sendiri sebelum ini.

"Dulu masa ada tren KTMB ke Bangkok, saya pernah beberapa kali naik dan itu antara sebab saya memilih tren MySawasdee hari ini selain hendak cuba perkhidmatan baharu," katanya yang juga penjawat awam.

Warga emas, Sunny Ewe, 74, pula berharap agar perkhidmatan itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana memudahkan orang ramai terutama golongan berusia sepertinya kerana tidak perlu memandu ke Hatyai.

"Selalu saya memandu ke sana dan hari ini saya dan kawan cuba naik tren pula, nampak lebih mudah sebab terus ke Hat Yai dan tidak perlu lagi tukar tren di Padang Besar, nampak tren pun bagus dan selesa," katanya.

Pegawai bank, Azhani Ariffin, 36, dari Sitiawan, Perak memilih menggunakan perkhidmatan khas itu kerana anak-anaknya gemar menaiki tren, justeru tidak mahu melepaskan peluang walaupun perlu memandu ke sini awal pagi bagi menaiki tren berkenaan bersama lima ahli keluarga.

"Sebelum ini, kami naik tren dari Batu Gajah, Perak sampai ke Padang Besar sebelum tukar tren di situ untuk ke Hatyai, macam susah sikit, namun dengan MySawasdee, kami boleh terus ke Hatyai. Paling penting anak-anak suka kerana mereka sebelum ini pernah naik (tren) ke Bangkok," katanya.

Tiket-tiket untuk tren khas MySawasdee yang mengambil masa lebih 5 jam perjalanan ke Hatyai boleh didapati melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman rasmi www.ktmb.com.my.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1342333/khidmat-tren-khas-butterworth-hatyai-dapat-permintaan-tinggi












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 08:27 AM GMT+8 , Processed in 0.385549 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list