Gambar fail
SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan serta Hospital Tuanku Ja'afar di sini (HTJS) mengaku berlaku kelewatan dalam kemasukan sebahagian pesakit ke wad hospital itu pada Khamis lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, berkata ia susulan berlaku kebakaran di bilik suis utama substesen HTJS pada hari berkenaan yang menyebabkan sedikit gangguan terhadap operasi ketika itu.
"Merujuk kepada laporan media pada Jumaat lalu berkenaan waktu menunggu yang lama untuk dimasukkan ke wad HTJS, pihak Jabatan Kesihatan negeri serta hospital mengaku terdapat kelewatan dalam kemasukan sebahagian pesakit ke wad dan situasi itu amat dikesali.
"Hasil semakan mendapati pemerhatian yang dilaporkan telah dibuat pada Khamis lalu.
"Untuk pengetahuan umum, berlaku kebakaran di bilik suis utama substesen hospital pada hari berkenaan yang telah menyebabkan sedikit gangguan operasi ketika itu.
"Selain jumlah kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang agak tinggi ketika itu, ketiadaan katil kosong di wad juga menyumbang kepada kelewatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku, Dr Harlina berkata, sebuah 'discharge lounge' yang memuatkan enam katil dan 'holding bay' dengan kapasiti 12 katil sebagai wad transit sementara, telah disediakan untuk mengurangkan impak kelewatan itu.
Sebagai langkah penambahbaikan seterusnya, beliau berkata, tindakan dirangka sebelum ini akan terus diperkasa dan diaktifkan jika situasi sama berlaku supaya isu pesakit terpaksa menunggu lama dapat diatasi pada masa akan datang.
"Antaranya, situasi setiap syif di ETD sentiasa dipantau supaya pesakit dapat diberikan keutamaan yang bersesuaian.
"Seterusnya, melaksanakan aktiviti 'step-down' pesakit, iaitu langkah memindahkan kes bersesuaian ke hospital lain di Negeri Sembilan akan dibuat jika perlu. "Selain itu, mobilisasi segera kakitangan tambahan ke ETD jika diperlukan," katanya.
Di samping itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai gejala ringan turut dinasihat mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) terdekat.
"Ini bagi membolehkan ETD di hospital memberi tumpuan kepada kes-kes kecemasan dan mengurangkan kesesakan di hospital," katanya.
Dr Harlina berkata, HTJS serta Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited dan akan sentiasa memastikan tiada kompromi dalam kualiti perawatan pesakit.
"Pesakit yang tiba di ETD akan diuruskan serta ditriaj dengan tepat, dan kes-kes tidak kritikal juga akan diberikan perhatian sewajarnya," katanya.
Disember 29, 2024
|