![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250106/sbw-ub060125-ba-chiew-p1.jpg)
Chiew mendapatkan maklum balas daripada orang ramai pada program lawatan ke kaunter Perkhidmatan Sarawak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu hari ini.
SIBU: Inisiatif Perkhidmatan Sarawak membuka kaunter khas mulai hari ini hingga 9 Januari ini bagi mendaftar dan mengemas kini Sarawak ID serta dompet digital S Pay Global yang didapati tidak berkesan dalam menangani kebimbangan orang ramai.
Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Lanang Alice Lau iaitu Stanley Chiew menyatakan kaunter tersebut tidak dapat menyelesaikan beberapa isu tertentu.
Chiew berkata, masalah ini termasuk kesukaran mengakses dompet digital akibat perubahan nombor telefon atau komplikasi teknikal lain.
Beliau mengeluarkan kenyataan ini selepas melawat kaunter Perkhidmatan Sarawak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.
“Pagi tadi, saya berbual dengan kakitangan kaunter dan mendapati perkhidmatan mereka hanya terhad kepada mengemas kini maklumat Sarawak ID serta mendaftar atau menetapkan semula kata laluan untuk dompet digital S Pay Global.
“Namun, kaunter tersebut tidak dapat menyelesaikan isu seperti masalah log masuk ke dompet digital akibat perubahan nombor telefon atau masalah teknikal lain,” jelasnya.
Chiew memaklumkan selepas berinteraksi dengan ramai individu di lokasi, beliau mendapati ramai tidak dapat mengakses dompet digital mereka akibat masalah teknikal terutama mereka yang menukar nombor telefon dan tidak dapat menerima kod pengesahan untuk log masuk.
Beliau turut menjelaskan lokasi terbabit sesak dengan hanya dua atau tiga kakitangan bertugas di kaunter, yang jelas tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan dengan cekap.
“Ramai datang dari kawasan pedalaman untuk mendapatkan bantuan. Bagaimana dua atau tiga kakitangan boleh menguruskan ribuan orang dalam satu hari?
“Jika mereka tidak dapat dibantu hari ini, mereka perlu kembali esok, membazirkan masa dan sumber mereka sambil menanggung perbelanjaan yang tidak perlu,” keluhnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Sarawak menghantar kakitangan teknikal S Pay Global ke lokasi tersebut bagi memberi bantuan secara bersemuka dan menyelesaikan masalah secara langsung.
Selain itu, Chiew mencadangkan agar lebih banyak kaunter perkhidmatan dibuka di kawasan lain seperti Sibu Jaya serta kawasan bandar dan luar bandar lain untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk dari kawasan pedalaman.
“Dengan menyediakan perkhidmatan di pelbagai lokasi, Kerajaan Sarawak boleh membantu mengurangkan kesesakan dan menyuraikan orang ramai,” katanya.
Beliau menambah: “Pagi tadi, UTC hampir lumpuh, mengganggu orang ramai lain datang untuk mendapatkan perkhidmatan di jabatan-jabatan lain.”
Chiew turut menyatakan jika golongan warga emas atau orang kurang upaya (OKU) menghadapi masalah ini terpaksa menunggu dalam barisan panjang akan menjadi beban lebih besar bagi mereka.
"Saya menyeru Kerajaan Sarawak mengambil tindakan segera menghantar lebih ramai kakitangan teknikal serta meneroka kaedah alternatif untuk mengagihkan dana bantuan kepada mereka yang terjejas akibat isu teknikal dompet digital," jelasnya.
Beliau menegaskan masalah ini perlu diselesaikan secara menyeluruh dan bukannya ditangani secara separuh hati atau sambil lewa.
|