![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250116/kks-ub160125-san-bersatu-p1copy.jpg)
BERSATU: Hamzah (dua dari kanan) bercakap kepada pihak media selepas Program Jelajah Rakyat BERSATU Sabah di Sepanggar.
KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia untuk bertanding lebih dari 18 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan di bawah slogan 'Kasi Bagus Sabah'.
Menurutnya, pada PRN16, BERSATU bertanding 18 kerusi di bawah panji Perikatan Nasional (PN) dan menang 11 kerusi, sekali gus menunjukkan potensi kejayaan parti itu dalam PRN akan datang.
"Walaupun dengan masa yang terhad ketika itu, kami berjaya memperoleh 11 kerusi. Kini, selepas bekerja di lapangan selama lima tahun, kami lebih bersedia.
"Ini kali pertama sejak sekian lama kami mengaturkan semua bahagian di seluruh Sabah. Berdasarkan kehadiran hari ini, saya rasa kami sudah bersedia, bukan hanya ahli BERSATU, tetapi juga bukan ahli yang datang memberi sokongan malam ini," katanya kepada media selepas menghadiri Program Jelajah Rakyat BERSATU Sabah di sini pada Rabu.
Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah menekankan bahawa dirinya sendiri memimpin perbincangan dan strategi yang membantu calon-calon parti memperoleh kemenangan dalam PRN16.
Selain itu, beliau bersama kepimpinan BERSATU Sabah juga mahu mencabar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 nanti.
Mengenai sentimen yang menyokong parti tempatan dalam PRN akan datang, Hamzah mengkritik pendirian GRS terhadap PN sedangkan pada masa sama, gabungan berkenaan secara terbuka bersekutu dengan parti seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pakatan Harapan (PH), dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
"Kami kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang berkongsi visi dan nilai kepimpinan. Matlamat kami adalah untuk memastikan 'Kasi Bagus Sabah' menjadi lebih dari sekadar slogan, tetapi menjadi kenyataan," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini, tiada perbincangan secara formal dengan mana-mana parti, tetapi Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa sekutu yang berpotensi.
|