![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250117/myy-ub170125-rb-persatuan-prihatin-cny-p1.jpg)
Sebastian (duduk depan empat dari kanan) bersama pihak penganjur dan penghuni Wishesland Miri pada Majlis "Sumbangan Kasih Sambutan Tahun Baru Cina" semalam.
MIRI: Kerajaan terus komited mempromosikan perkhidmatan penjagaan dan sokongan komuniti demi memastikan golongan kurang bernasib baik mendapat perhatian dan harapan yang sewajarnya.
Komitmen itu ditegaskan Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew semasa menghadiri program amal "Sumbangan Kasih Sambutan Tahun Baru Cina" anjuran Persatuan Prihatin Masyarakat Miri di Wishesland Miri, semalam.
Menurut beliau, usaha dan sumbangan semua pihak amat penting untuk membawa manfaat kepada golongan kurang bernasib baik.
Justeru, beliau memuji Wishesland Miri yang bukan sahaja merupakan sebuah pusah khusus untuk memberikan rawatan dan sokongan kepada pesakit cerebral palsy tetapi juga berfungsi sebagai sebuah pusat perlindungan yang membawa harapan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.
"Setiap rawatan dan perhatian yang diterima oleh kanak-kanak di sini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup mereka tetapi turut menyalakan harapan dalam keluarga mereka.
"Usaha yang sebegini amat mulia dan memerlukan kasih sayang, kesabaran dan pengetahuan profesional," katanya.
Sebastian turut berterima kasih kepada kakitangan dan sukarelawan Wishesland Miri atas dedikasi mereka dalam membantu kanak-kanak menjalani kehidupan yang lebih baik.
Berucap pada majlis sama, Presiden Persatuan Prihatin Masyarakat Miri, Lee Jun Tak berharap program seperti ini dapat menyampaikan kasih sayang serta sokongan komuniti kepada golongan kurang bernasib baik.
"Sejak penubuhan persatuan ini, kami berpegang pada prinsip "‘Prihatin Masyarakat, Berkhidmat Untuk Komuniti’, menganjurkan aktiviti amal tahunan termasuk bantuan sempena Tahun Baru Cina," katanya.
Sementara itu, pengerusi penganjur Andy Jong Wan Joon yang juga merupakan timbalan presiden menyatakan bahawa Wishesland Miri adalah tempat penuh kasih sayang dan harapan.
"Kami berharap sumbangan ini dapat menyemarakkan kehangatan perayaan kepada keluarga kanak-kanak yang menghidap cerebral palsy," ujarnya.
Program ini turut mendapat sokongan syarikat Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd yang menyumbangkan beras wangi, manakala bekalan makanan dan angpau disumbangkan oleh para penderma sukarelawan.
Seramai 38 orang kanak-kanak yang menghidap cerebral palsy telah diraikan dan menerima sumbangan beras, bekalan makanan dan angpau sebagai persiapan menyambut Tahun Baru Cina 2025 yang akan datang.
Hadir sama ialah Eksekutif Pembangunan Pemasaran Tong Seng Huat, Kiew Tze Xia, Presiden Wishesland Miri Eunice Ho serta beberapa pemimpin komuniti lain.
|