Kangar: "Abah hero yang kuat sewaktu dulu, sekarang dia sudah tak macam dulu, tak nampak macam dulu, tak rasa macam dulu. Doakan abah saya sentiasa kuat. Doakan abah saya sentiasa boleh lawan penyakitnya".
Itu sebahagian kapsyen dimuat naik, Mohammad Zaidi Rosli, 21, atau mesra disapa Didi pada video dimuat naiknya di TikTok baru-baru ini.
Menerusi video itu, kelihatan Didi membantu menguruskan bapanya, Rosli Latif, 53, yang menerima rawatan di hospital dan perkongsiannya itu meraih perhatian warganet dengan rata-ratanya menitipkan doa serta kata-kata semangat.
Berkongsi kisahnya, Didi berkata, bapanya dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah di sini, sejak enam hari lalu selepas disyaki menghidap tibi.
Mengenangkan keadaan bapanya, Didi membantu keluarga menjaga bapanya dengan bantuan abangnya, Muhammad Saifu Rosli, 21.
"Awalnya doktor syak abah ada tibi jadi dia ditempatkan di wad untuk menjalani kuarantin selama tiga hari sehingga Khamis lalu.
"Jumaat lalu, doktor maklumkan abah negatif tibi namun masih perlu ditahan di wad untuk pemantauan lanjut.
"Mummy (Rossazimawatie Mat Esa) masih ada cuma dapat jaga sekejap saja kerana perlu uruskan kedai makan. Jadi buat masa ini, saya dengan abang yang bergilir-gilir jaga abah kerana adik-beradik lain terikat dengan komitmen kerja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
GAMBAR kenangan Muhammad Zaidi dengan ibu, Rossazimawatie Mat Esa dan bapanya, Rosli Latif. FOTO Ihsan Muhammad Zaidi Rosli
Sebagai anak, Didi mengakui sedih melihat bapanya yang sebelum ini sihat namun kini terlantar di hospital kerana sakit.
Bagaimanapun, Didi lega selepas diberitahu doktor mengenai keadaan kesihatan bapanya yang sudah bertambah baik.
"Saya rapat juga dengan abah dan selalu dengar luahannya jadi risau juga awalnya bila dapat tahu abah sakit.
"Tapi sejak semalam, abah nampak semakin okay, keputusan ujian X-ray juga baik cuma kena bergantung ubat antibiotik.
"Syukur dan puas juga kerana dapat jaga abah kerana dulu saya anak yang nakal jadi sekarang masanya untuk berbakti kepada insan yang membesarkan saya sejak kecil," katanya yang juga anak ketiga daripada enam beradik.
Jauh di sudut hati, Didi mengharapkan bapanya diberi kesembuhan segera dan pulang ke rumah bagi menjalani kehidupan seperti biasa.
"Saya nak abah sembuh dan sentiasa kuat malah sentiasa beri kata semangat sepanjang menemaninya di wad.
"Pada masa sama, saya harapkan juga doa daripada orang lain dan kerana itu kongsi video dengan abah di TikTok.
"Tak ada niat nak menunjuk pun kerana doa itu lebih penting dan syukur ramai doakan abah walaupun tak mengenalinya," katanya.