Tanam sendiri daun kari - CAP
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Januari 19, 2025 @ 4:11pm [email protected]
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow, menunjukkan pokok daun kari yang ditanam di laman Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang. - FOTO IHSAN CAP
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengguna terutama suri rumah menanam sendiri daun kari yang boleh diusahakan dengan mudah.
Penanaman sendiri sayuran dan herba termasuk daun kari bukan sahaja menjimatkan malah diyakini selamat tanpa bahan kimia.
Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis kepenggunaan, N V Subbarow, berkata tinjauan baru-baru ini mendapati sejumlah kecil daun kari dijual antara RM2 hingga RM3 seikat.
Sebelum ini, katanya, daun kari dijual pada harga RM10 sekilogram (kg) di pasaran.
"Saya terkejut apabila harga daun kari di pasaran kini dijual antara RM15 hingga RM18 sekilogram.
"Dahulu jika pengguna beli kelapa, daun kari sering diberi percuma tetapi kini tidak lagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Subbarow berkata, penanaman sendiri di rumah hanya memerlukan modal RM1.
Sehubungan itu, katanya, CAP menggalakkan pengguna menanam sendiri daun kari di rumah sebagai langkah penjimatan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1351304/tanam-sendiri-daun-kari-cap
|