Edited by sfhzuraz at 20-1-2025 04:45 PM
Sanggup pulang dari Sarawak jaga ibu hidap kanser otak
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
20 Januari 2025 03:50pm
Noor Farhana (kanan) akan menguruskan ibunya pada setiap pagi di rumah mereka di Kampung Empa, Jitra sebelum pergi bekerja sebagai pembantu kedai makan.
JITRA - Seorang anak mengambil keputusan untuk pulang serta-merta pulang ke kampungnya dari Sarawak untuk menjaga ibu yang disahkan menghidap kanser otak.
Noor Farhana Mohamad Azhar, 31, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan membuat keputusan tersebut selepas ibunya, Sharifah Sharif, 51, memerlukan bantuan untuk bergerak selepas terjatuh ketika menunggang motosikal dua tahun lalu.
Dia dan suaminya, Indra Mohd Bakri, 29, berpindah ke kampung bersama tiga orang anak mereka berusia lapan, lima dan tiga tahun.
“Kami terus balik berpindah ke sini untuk menjaga emak kerana pada hujung tahun 2023 dia tidak boleh bangun akibat badan sangat lemah.
]
Sharifah dibantu oleh Zaliza untuk minum sambil diperhatikan oleh Noor Farhana (kiri) dan Zuraini (dua kiri) di Kampung Empa, Jitra pada Isnin.
“Kami terus rujuk ke Hospital Jitra untuk membuat pemeriksaan sebelum emak dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).
“Doktor memaklumkan ada ketumbuhan di antara kepala dan hidung emak sebesar ibu jari dan perlu menjalani pembedahan segera.
"Doktor maklum ada risiko tinggi jika lakukan pembedahan ini dan kami putuskan tidak melakukan pembedahan," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Empa, Jalan Wang Tepus, dekat sini pada Isnin.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang turun menyampaikan sumbangan wang tunai dan kerusi roda bagi memudahkan Sharifah bergerak.
Noor Farhana berkata lagi, dia dan suaminya mendapat kerja di sebuah kedai makan di kawasan berhampiran rumah dengan pendapatan bersama sekitar RM1,300 sebulan.
Menurutnya, dengan pendapatan yang diterima itu digunakan secara berjimat-cermat bagi menyara keluarga, membeli lampin pakai buang anak serta persekolahan dua anak.
"Setiap pagi sebelum pergi kerja, saya uruskan emak, mandikan dan beri makan terlebih dahulu.
"Jika tidak sempat, ibu saudara, Zaliza Yaakob, 30, yang juga orang kurang upaya (OKU) akan datang jaga emak sebelum saya pulang," ujarnya.
Tambahnya, dia mempunya tiga adik lagi termasuk seorang daripadanya berlainan bapa, namun dua adik lelakinya hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.
Pendapatan yang kecil menyaksikan dia hanya mampu membawa ibunya menjalani rawatan susulan di HSB jika dia ada wang serta waktu kelapangan kerana dia perlu bekerja untuk menyara keluarga.
“Bila nak pergi ke hospital juga memerlukan wang yang banyak. Saya tidak mampu beri keselesaan pada emak kerana rumah hasil peninggalan arwah ayah ini sudah uzur dan ruang bilik ini juga agak sempit. Di sinilah emak tidur dan mandi.
"Keadaan emak sekarang juga sudah tidak seperti dulu lagi kerana ingatannya sudah mula hilang, bila kita bercakap apa-apa dia hanya akan memberikan reaksi ketawa," katanya lagi.
Orang ramai yang mahu membantu Sharifah boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun 8881029573832 Ambank atas nama Noor Farhana Mohd Azhar.
https://www.sinarharian.com.my/article/708254/edisi/utara/sanggup-pulang-dari-sarawak-jaga-ibu-hidap-kanser-otak
|