
Yii menemui pemberita di pejabatnya di Dewan Bandaraya Miri hari ini.
MIRI: Pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menyerahkan kes berhubung tunggakan kompaun parkir kepada panel perundangan sekiranya pemilik kenderaan masih gagal melunaskan jumlah tunggakan.
Ketika bercakap kepada pemberita, Datuk Bandar Adam Yii berkata, kes tersebut akan diserahkan kepada peguam panel yang akan mengemukakan notis tuntutan kepada pemilik kenderaan itu.
Beliau memberitahu, proses tersebut akan melibatkan kos guaman berjumlah RM400.
"Sekiranya seseorang itu memiliki tunggakan sebanyak RM15 dan belum dijelaskan, dia perlu membayar RM15 dan ditambah bayaran kos guaman RM400.
"Oleh itu, untuk mengelak dikenakan kos tersebut, mereka perlu membayar tunggakan sebelum pihak majlis menyerahkan kes kepada peguam panel untuk tindakan undang-undang," jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis di Dewan Bandaraya Miri, hari ini.
Yii berkata, sebelum itu, MBM akan memberitahu pemilik kenderaan tentang jumlah tunggakkan mereka.
Pemilik boleh mengetahui jumlah tunggakan kompaun di aplikasi Borneo Park atau datang sendiri ke Unit Parkir di Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk pertanyaan.
"Ramai memberitahu mereka sanggup membayar tunggakan tetapi tidak untuk kos guaman.
"Sepatutnya mereka perlu menjelaskan tunggakan sebelum pihak Majlis memulakan proses undang-undang," tegasnya.
|