
Ismawi (dua kiri) melawat ke tapak Program Bakti MADANI 2025 di Stadium Tertutup Miri pagi tadi.
MIRI: Program Bakti MADANI 2025 di Miri dan acara satelit di Niah yang akan diadakan pada 7 hingga 9 Februari depan, dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung di kedua-dua lokasi berkenaan.
Pengerusi penganjur yang juga Ketua Pegawai Eksekutif RECOCA Datuk Ismawi Ismuni berkata, pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang program seperti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan, persembahan artis terkenal dan juga Jualan Rahmah.
Menurut beliau, Program Bakti MADANI (PBM) Miri 2025: Sarawak Maju Makmur – Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) Menuju Pemerkasaan Rakyat ini akan dirasmikan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg pada 8 Februari di Stadium Tertutup Miri.
Tambahnya, program ini dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Performance Augmentation Coordination Unit (PACU) di bawah Pejabat Perdana Menteri dengan acara utama akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri, manakala acara berskala kecil akan diadakan di pekan Sepupok, Niah.
"Salah satu tarikan utama adalah pameran oleh agensi persekutuan, agensi dari Sarawak, bank, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang mempamerkan kemajuan di bawah Kerajaan Persekutuan serta pencapaian dan hala tuju Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030," katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan di tapak PBM 2025 di Stadium Tertutup Miri di sini, pagi tadi.
Selain itu menurut Ismawi, turut diadakan Jualan Rahmah di Miri dan Sepupok yang menawarkan pelbagai produk jualan dan perkhidmatan daripada usahawan tempatan.
"Untuk acara tiga hari di Miri, hadiah utama cabutan bertuah adalah sebuah kereta Proton Saga, tiga motosikal, gajet elektronik dan beberapa hadiah menarik yang lain," ujar beliau lanjut.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk hadir beramai-ramai ke kedua-dua acara tersebut di mana Konsert Rakyat di Stadium Tertutup Miri akan menampilkan artis popular seperti Baby Shima dan kumpulan Alleycats, pertunjukan Battle of the Bands serta pelbagai tarikan lain di kawasan parkir stadium.
Tambahnya, penganjur telah menerima sambutan luar biasa daripada usahawan yang berebut untuk mendapatkan 73 gerai yang disediakan sempena acara tiga hari di Miri itu dan hanya empat kumpulan muzik tempatan berjaya disenarai pendek daripada jumlah penyertaan yang tinggi.
"Ekspo ini akan mengetengahkan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030, yang merupakan rancangan jangka panjang untuk mencapai aspirasi Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.
"Malah seorang pakar ekonomi Bank Dunia telah menyatakan bahawa matlamat ini sudah berjaya dicapai," ujarnya sambil menambah, dijangka 2,000 orang hadir pada majlis perasmian program tersebut nanti.
|