
Fatimah berinteraksi dengan seorang pesakit kanser semasa lawatan ke HUS, hari ini. - Gambar Galileo Petingi
KUCHING: Sarawak telah membelanjakan lebih RM2.76 juta untuk bantuan perubatan kepada pesakit di negeri ini dari 2021 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dalam tempoh itu sebanyak 106 kes pesakit telah menerima bantuan perubatan.
Menurutnya daripada jumlah itu, pada tahun lepas sebanyak RM1,652,005.38 telah dibelanjakan untuk membantu 79 kes atau pesakit di seluruh negeri.
“Bantuan perubatan adalah bagi membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perubatan bagi apa-apa jenis penyakit yang telah didiagnosis oleh pegawai perubatan kerajaan dan memerlukan rawatan segera.
“Bantuan adalah bersifat 'one-off' dan atau sementara sehingga bantuan perubatan diperolehi daripada sumber lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Unit Radioterapi, Onkologi dan Penjagaan Paliatif (RTU) di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini.
Fatimah berkata, bantuan perubatan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban kewangan golongan tidak berkemampuan bagi mendapatkan bantuan perubatan.
Katanya, ia juga untuk mempromosi kebajikan serta kesejahteraan dalam aspek kesihatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.
Mengulas lanjut mengenai bantuan perubatan, Fatimah memberitahu antara kriteria penerima bantuan adalah tiada had umur, orang Sarawak (kad pengenalan berstatus ‘K’ dan menetap di Sarawak), pesakit yang telah disahkan atau dirujuk oleh pegawai perubatan kerajaan.
Selain itu, pesakit yang memerlukan bantuan sokongan (berdasarkan kes), tergolong dalam kumpulan B40 atau M40 dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,020 sebulan, dan tidak mendapat subsidi rawatan dan bantuan sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
“Jenis bantuan termasuk kos pembedahan dan implan, pembelian peralatan perubatan tidak termasuk peralatan rehabilitasi bagi pemulihan asas, meningkatkan kefungsian dan bukan untuk tujuan kecantikan atau kosmetik.
“Ia juga termasuk pembekalan ubat-ubatan dan lain-lain bantuan yang wajar bagi tujuan rawatan, pemulihan dan penyembuhan,” kata Fatimah.
|