
AB RAHMAN
MIRI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima merampas kira-kira 432,000 batang rokok kretek dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM1.6 juta, semalam.
Komander PPM Wilayah 5 ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata anggota dari Unit Risikan Marin (URM) Miri ketika menjalankan OP Taring Landai telah menahan sebuah van di Jalan Miri Bypass iaitu sekitar jam 12.35 tengah hari.
Katanya, hasil pemeriksaan telah menemui rokok kretek tersebut yang didapati tiada pelekat cukai Kastam.
“Pemeriksaan mendapati van tersebut membawa muatan 432,000 batang rokok kretek yang tiada berlabel pelekat cukai Kastam.
“Pemandu van iaitu seorang lelaki warga tempatan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan dari pihak Kastam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Rampasan rokok dan van untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967. - Gambar PPM Wilayah 5
Susulan itu, pemandu van ditahan dan kesemua rokok kretek tersebut dirampas kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
|