Vesel nelayan hilang di perairan Kuala Kedah
Oleh Hamzah Osman - Februari 2, 2025 @ 1:16pm[email protected]

Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pemantauan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah vesel nelayan tempatan yang hilang dalam perjalanan pulang dari Kuala Kedah, Kedah ke Kuala Kurau, Perak. - Foto NSTP/Ihsan APMM
LANGKAWI: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dikendali dua awak-awak warga tempatan dan seorang Thailand hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kedah, Kedah ke Kuala Kurau, Perak pada 26 Januari lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata selepas seminggu hilang vesel terbabit masih gagal dikesan, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan tiga awak-awak terbabIt.
Katanya, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima aduan kehilangan vesel itu daripada pengadu yang juga pemiliknya, Rama Nair pada 30 Januari lalu.
"Vesel bersama tiga awak-awak itu dimaklumkan bertolak dari Kuala Kedah menuju ke Kuala Kurau pada 11.30 malam 26 Januari lalu. Bagaimanapun, sehingga kini, tiga awak-awak vesel berkenaan masih gagal dihubungi.
"MRSC Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 31 Januari lalu meliputi kawasan 1,218.9 batu nautika persegi, iaitu perairan Kuala Kedah hingga Kuala Kurau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Romli berkata, sehingga kini SAR terbabit menggunakan tiga aset laut dan sebuah pesawat udara milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selain dibantu dua aset Pasukan Polis Marin (PPM).
"Bagi menyelaras usaha SAR, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah dan Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau sebagai pusat operasi.
"Sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh disalurkan segera kepada pihak berkuasa menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi MRSC Langkawi di talian 04-9662750 yang dibuka 24 jam," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1356468/vesel-nelayan-hilang-di-perairan-kuala-kedah
|