
Anggota bomba sedang memantau paras air Batang Rajang pagi tadi. - Gambar JPBM
SIBU: Empat kawasan utama di daerah ini yang terjejas teruk akibat banjir beberapa hari lalu kini dilaporkan berada dalam keadaan baik dan terkawal.
Paras air banjir telah surut dan aktiviti harian penduduk di kawasan tersebut kini kembali berjalan seperti biasa.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie, berkata pemantauan yang dijalankan pagi ini mendapati keempat-empat kawasan yang terjejas iaitu Jalan Salim Stabau, Tebingan Sibu, Rumah Monica dan Jalan Sentosa, kini berada dalam keadaan selamat.
"Keadaan di semua kawasan yang terjejas banjir sebelum ini kini pulih sepenuhnya. Air telah surut dan situasi keseluruhan adalah terkawal.
"Tiada lagi ancaman banjir di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menambah bahawa pihak JBPM Sibu akan terus melakukan pemantauan secara berkala untuk memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.
Paras air banjir di kawasan Rh Monica di sini sudah surut. - Gambar JPBM
"Ini bertujuan untuk memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin, terutamanya sepanjang tempoh musim hujan yang tidak menentu ini," jelas beliau.
Andy turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku perubahan cuaca yang mendadak.
Katanya, penduduk setempat yang terjejas oleh banjir diminta untuk segera melaporkan sebarang isu atau keadaan yang memerlukan perhatian pihak berkuasa bagi tindakan segera.
Sementara itu, operasi pemantauan pagi tadi melibatkan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentral dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Salah satu jalan di Sentosa yang terjejas teruk akibat banjir beberapa hari lalu berada dalam keadaan baik dan terkawal. - Gambar JPBM
https://www.utusanborneo.com.my/2025/02/03/banjir-di-empat-kawasan-utama-sibu-kini-surut-jpbm
|