
Abang Johari berjabat tangan dengan Tun Wan Junaidi (kanan). - Gambar Penerangan
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar disifatkan sebagai seorang pemimpin yang bukan sahaja berintegriti tinggi tetapi juga negarawan yang komited terhadap pembangunan Sarawak dan kemakmuran rakyatnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sepanjang kerjaya beliau, sama ada sebagai seorang pengamal undang-undang, ahli politik, menteri mahupun sebagai Yang di-Pertua Negeri, Tun Wan Junaidi sentiasa menampilkan kebijaksanaan, kesederhanaan dan keprihatinan yang luar biasa.
“Saya ingin berkongsi, pada tahun 1987 ketika kita menghadapi perpecahan dalam kalangan rakyat dan Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Tun Wan Junaidi berjuang bersama saya selaku wakil rakyat Satok pada ketika itu bermula dari Kampung No.4 kerana beliau pernah mendiami kampung tersebut.
“Tun berpandangan kita mesti menyatukan rakyat dan tidak boleh berpecah, dengan itu beliau menawarkan diri untuk membantu dalam proses menyatukan rakyat dan parti.
Tun Wan Junaidi (enam kiri) serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi (enam kanan) merakam gambar bersama Abang Johari (lima kiri) serta tetamu kenamaan yang lain. - Gambar Penerangan
“Akhirnya pada Pilihan Raya Umum 1990, Allahyarham Tun Taib mencadangkan Tun Wan Junaidi menjadi Ahli Parlimen di kawasan baharu Batang Lupar dan menang dengan cemerlang.
“Keikhlasan dan dedikasi beliau untuk membawa kemakmuran dan hak-hak Sarawak merupakan legasi yang tidak ternilai yang akan terus dikenang sepanjang zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran dua buah buku mengenai kisah dan perjalanan hidup Tun Wan Junaidi di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini malam Ahad.
Buku bertajuk Pejuang Sejati: Dari Rimba ke Astana memaparkan perjalanan hidup Tun Wan Junaidi sejak beliau masih muda bertugas sebagai pegawai polis, sebagai ahli politik dan akhirnya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri pada 26 Januari 2024.
Tun Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bersama Abang Johari (enam kiri) serta yang lain menyaksikan tayangan montaj khas. - Gambar Penerangan
Manakala buku bertajuk ‘365 Days in Astana: The Story and Potraits of TYT Sarawak Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar’ didokumentasikan dalam bentuk buku bergambar dengan menghimpunkan gambar-gambar kisah perjalanan hidup Tun Wan Junaidi selama satu tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri.
Abang Johari dalam pada itu percaya pembaca buku ini akan dapat mendalami sisi peribadi dan profesional seorang tokoh yang telah banyak berjasa kepada negeri ini.
Beliau turut berharap karya ini menjadi rujukan yang bermanfaat serta sumber inspirasi kepada semua dan akan menarik minat lebih ramai generasi muda untuk membaca buku.
Penerbitan buku-buku ini kata Abang Johari, juga akan membuka laluan, memberi inspirasi dan memberi ilham kepada penerbitan-penerbitan buku lain di Sarawak kerana koleksi seperti ini adalah khazanah negeri yang perlu dipelihara untuk generasi masa kini dan akan datang.
Tun Wan Junaidi (dua kanan) dan Abang Johari (tiga kanan) memegang buku yang dilancarkan. Turut kelihatan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi (kanan) serta yang lain. - Gambar Penerangan
|