
Omar ketika ditemui pemberita semasa lawatan di PPS SK Sejijak baru-baru ini.
KUCHING: Pelajar yang masih terlibat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terjejas akibat banjir diminta menghubungi pihak sekolah dengan segera.
Pengarah Pendidikan Negeri Omar Mahli berkata, ia kerana masih ada peperiksaan SPM dijalankan iaitu dari 3 hingga 6 Februari bagi kertas akhir.
“Kita mohon kepada pelajar terjejas akibat banjir yang tinggal di kampung supaya menghubungi pihak sekolah dengan segera.
“Jika mereka tidak dapat menghubungi sekolah akibat masalah liputan, mereka boleh memohon bantuan agensi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masing-masing untuk menghubungi pihak sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijak di sini, baru-baru ini.
Tambah Omar, malahan ketika ini semua pengetua sekolah di kawasan terjejas di seluruh negeri berusaha membawa balik pelajar mereka ke sekolah untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada Isnin.
“Kita ada beberapa kes seperti di Miri dan Subis, di mana pengetua mereka kini sedang berusaha membawa pelajar mereka balik ke sekolah sebelum Isnin ini.
“Maka itu kita mohon kepada ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka kembali ke sekolah untuk menduduki peperiksaan kertas akhir mereka iaitu dari 3 Februari hingga 6 Februari,” tegasnya.
|