Guru Bahasa Inggeris mengaku tak salah 5 pertuduhan amang seksual pelajar
Oleh Aizat Sharif - Februari 4, 2025 @ 11:59am [email protected]

Tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik (berbaju hijau) berjalan ke bilik perbicaraan sambil diiringi peguamnya, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian (kanan). - NSTP/ AIZAT SHARIF
KANGAR: Seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah agama di Kangar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 13 tahun antara Ogos hingga November 2023.
Tertuduh, Ahmad Fairus Abu Zaik, 44, dari Ayer Itam, Pulau Pinang meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Fairus didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik media sekolah menengah agama di Simpang Empat, Kangar sekitar jam 2.30 petang, 3 petang, 2.40 petang dan 10 malam pada 21 Ogos, selain 13 September dan 27 November 2023 lalu.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menyentuh bahagian kemaluan seorang lagi pelajar lelaki sekolah berkenaan berusia 13 tahun di lokasi sama sekitar jam 12.15 tengah hari pada November 2023 lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan sebat, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 ke atas dengan seorang penjamin. manakala 3 Mac ditetapkan tarikh sebutan semula kes.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/02/1357265/guru-bahasa-inggeris-mengaku-tak-salah-5-pertuduhan-amang-seksual-pelajar
|