Kuala Nerang: Seorang peniaga kedai makan dan runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap lima remaja dan melepaskan tembakan di tempat yang tidak dibenarkan pada 27 Januari.
Yusooff Salleh, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak menyebabkan kematian kepada lima remaja lelaki berusia antara 15 dan 16 tahun.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kedai makan dan runcit yang dimilikinya di Kampung Bagan, Jalan Nami-Naka dekat sini, kira-kira 11 pagi, 27 Januari.
Pendakwaan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Yusooff juga didakwa melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis senapang patah Fair Premier di tempat yang tidak dibenarkan, pada waktu dan tarikh yang sama.
Pendakwaan bawah Seksyen 39, Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien memohon mahkamah agar tidak membenarkan Yusoof diikat jamin.
Bagaimanapun, peguam Murtazadi Amran dan Izwan Khudrir yang mewakili lelaki itu, memohon mahkamah membenarkan jaminan berikutan keadaan kesihatan anak guamnya itu yang mengalami sakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.
Majistret Nurul Huda Idris kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada 27 Januari, lelaki itu yang juga penyelia sebuah ladang getah dipercayai melepaskan empat das tembakan ke udara bertujuan mengugut lima remaja terbabit, selepas mengesyaki mereka mencuri wang berjumlah RM5,000 di kedai miliknya.