Edited by Vellfire at 7-2-2025 11:06 PM

Shahrezy (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sharifah.
BINTULU: Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak telah menghulurkan bantuan segera kepada seorang mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal apabila rumahnya roboh dihanyutkan arus deras sungai susulan banjir di kawasan Jepak.
Tinjauan ke atas rumah mangsa dan penyampaian sumbangan telah dibuat Pegawai Khas Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak Shahrezy Sulaiman yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak Iskandar Turkee kepada Sharifah Jala serta keluarganya pada Rabu lepas.
Sharifah dan anak-anaknya juga turut dibawa membeli barang keperluan di pasar raya berdekatan oleh Shahrezy dan kakitangan pusat terbabit.
Iskandar berkata, kejadian banjir yang melanda kawasan Jepak baru-baru ini menyebabkan Sharifah dan keluarganya kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras sungai.
"Kejadian yang berlaku secara mendadak itu telah menyebabkan mangsa kehilangan hampir semua harta benda," katanya.
Beliau berkata, prihatin dengan keadaan tersebut Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak segera menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa.
Shahrezy (tengah) diiringi Sharifah (kanan) dan yang lain melihat keadaan rumah rosak teruk dihanyutkan air sungai akibat banjir.
Katanya, bantuan yang disumbangkan berupa pakaian dan peralatan sekolah untuk anak-anak mangsa, catuan makanan, peralatan dapur memasak, tong gas, tilam, bantal serta duit saku sebagai modal untuk memulakan perniagaan kecil.
Dalam pada itu katanya, penduduk dinasihati agar sentiasa bersiap siaga menghadapi musim hujan yang berpotensi mencetuskan banjir serta perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mendapatkan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.
|