Edited by Vellfire at 7-2-2025 11:13 PM

Ariffin menunjukkan longgokan sampah yang boleh mendatangkan masalah kesihatan dan alam sekitar di Skim Penempatan Semula Tudan.
MIRI: Penduduk di Skim Penempatan Semula Tudan meminta pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk segera membersihkan timbunan sampah yang telah lama terbiar dan berisiko membahayakan kesihatan penduduk dan alam sekitar.
Pengadu, Ariffin Jeraiee, 63, berkata, masalah tersebut telah berlarutan selama beberapa minggu sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Sejak itu, sampah terus bertimbun tanpa sebarang tindakan pembersihan diambil oleh pihak berkuasa untuk mengatasinya, jelas Ariffin.
Ariffin turut menunjukkan longgokan sampah yang telah melimpah di jalan raya yang menyukarkan kenderaan melalui kawasan itu.
Masalah bertambah buruk apabila tempat pembuangan sampah tidak lagi disediakan tong sampah 'Roll-on Roll-Off' (RORO) oleh MBM sekali gus menyebabkan masalah pembuangan sampah yang tidak terurus di kawasan sekitarnya.
Disebabkan penutupan pusat tong sampah RORO, penduduk diminta untuk membuang sampah ke tapak pelupusan sampah di Kuala Baram.
Kehadiran dua ekor anjing liar di kawasan sampah bekas tapak RORO di Skim Penempatan Semula Tudan.
Arahan tersebut menyusahkan penduduk kerana terpaksa menghantar sampah ke lokasi yang jauh dari kediaman mereka.
Disebabkan itu, sesetengah penduduk bertindak membakar sampah sarap yang terkumpul secara terbuka, mengakibatkan masalah pencemaran udara dan bau.
"Kita boleh libat banyak kesan kebakaran dan bau asap masih berlegar di udara.
"Tanpa tong sampah, inilah satu-satunya cara untuk menghapuskan sampah sarap ini," jelas Ariffin.
Keadaan sampah itu turut menarik kehadiran anjing-anjing liar dan haiwan perosak seperti tikus serta serangga.
Beliau meminta MBM untuk segera meletakkan kembali tong sampah ROR) di kawasan mereka, selain memperkenalkan penyelesaian pengurusan sisa yang lebih mampan.
Menurut Ariffin, semakin lama masalah sampah itu berlarutan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan penduduk dan alam sekitar.
|