Edited by Vellfire at 7-2-2025 11:36 PM

Dr Khairuddin (enam kiri) bersama penulis buku yang diterbitkan oleh UTS Publisher pada majlis pelancaran buku di UTS hari ini. Turut kelihatan Dr Muhammad Firdaus (lima kiri).
SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee menggalakkan ahli akademik, penyelidik dan golongan pendidik untuk menulis buku atau melibatkan diri dalam bidang penerbitan.
Menurut beliau, pengalaman mereka di dalam bilik darjah, di makmal dan juga di lapangan boleh membawa kepada pandangan berharga yang boleh dikongsikan atau didengar oleh seluruh dunia.
"Anda tidak akan tahu siapa yang mungkin mendapat ilham atau perubahan yang mungkin boleh anda cetuskan dengan hanya berkongsi hasil kerja anda, sama ada anda baru dalam bidang penerbitan atau selalu memikirkannya tetapi tidak pernah memulakan langkah, mulakan dari sekarang," ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Hadir sama ialah Pengarah UTS Publiser Prof Dr Muhammad Firdaus Abong Abdullah.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, bagi penulis dan pengarang yang lebih berpengalaman, beliau menggalakkan mereka untuk berfikir di luar usaha individu atau menjalinkan kerjasama dengan pihak lain.
"Dapatkan perkongsian dengan pengarang terkenal daripada institusi atau organisasi penyelidikan yang terkemuka.
"Dengan bekerjasama, anda boleh menghasilkan kerja yang bukan sahaja berjaya di dalam negara tetapi berpotensi untuk memberi impak di peringkat global.
"Idea yang hebat sering menjadi lebih besar apabila dikongsikan," jelasnya.
Beliau juga percaya UTS Publisher mempunyai peranan unik untuk dimainkan dalam membantu meletakkan negeri Sarawak sebagai peneraju dalam bidang pengetahuan dan mencipta inovasi.
"Bayangkan jika UTS bekerjasama dengan agensi atau organisasi negeri untuk menubuhkan badan penyelidikan.
"Ini akan memacu hasil penyelidikan, menyumbang kepada bidang kajian kritikal dan yang lebih penting, membantu meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam bidang pengetahuan dan inovasi.
"Dengan 2030 semakin menghampiri, ini adalah momentum yang kita perlukan untuk mengubah rantau ini," jelasnya.
Menyentuh mengenai lapan buku terbitan UTS Publiser itu Dr Annuar berkata, ia bukan hanya mengenai penerbitan tetapi lebih kepada penerbitan dengan tujuan di mana penerbitan berimpak tinggi boleh meningkatkan kedudukan UTS dalam kedudukan MyRA dan seterusnya.
Tetapi yang lebih penting katanya, ia berfungsi sebagai penanda aras kecemerlangan untuk pelajar, penyelidik dan juga pembuat dasar.
"Saya juga ingin menggalakkan UTS untuk melangkaui sempadan kita dan bekerjasama dengan universiti terkemuka dunia.
"Perkongsian ini akan memperkaya ekosistem penyelidikan dan membantu UTS mengukir ruang di peringkat akademik global," ujarnya.
Sementara menurut Dr Khairuddin, UTS Publisher berjaya menerbitkan 16 buku pada tahun lepas termasuk biografi ringkas mengenai Gabenor Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sempena memperingati pengisytiharan Tun sebagai Canselor kedua UTS pada Disember 2024.
"Hari ini, kita menandakan satu lagi pencapaian dengan pelancaran lapan buku baharu, yang menjadi sebahagian daripada 16 buku yang diterbitkan pada 2024.
"Buku-buku ini, yang dikarang oleh ahli akademik dan penyelidik kita yang berbakat, mencerminkan dedikasi tanpa henti untuk menyebarkan pengetahuan dan kepakaran saintifik.
"Kepada pengarang, saya memuji kerja keras dan ketekunan anda, sumbangan anda bukan sahaja memperkayakan landskap akademik tetapi juga masyarakat secara amnya," ujar beliau.
Lapan buku baharu itu adalah 'Guava: A Journey Through Oil-Wax-Gum Coating', 'Algal Biodiesel: Alternative Fuel And Potential', 'The Inward Turn Of Home', 'Halo: A Symphony Of Natural & Innovation', 'School Of Foundation Studies Mechanical Physics Kickstarter Workbook', 'Youthful Vision: Horizon Worlds Unbound Vol. 1 & Vol. 2' serta 'Typology And Morphology Of Historical Areas: A Case Study Of George Town, Penang, Malaysia'.
|