
Wilfred ditemani Morthada (dua kiri) dan Lukhman (dua kanan) menyampaikan sumbangan angpau kepada ahli PERKTHIS Cawangan Kuching pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Lunar 2025 hari ini.
KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dalam memastikan dasar keterangkuman sosial terus menjadi keutamaan bagi menjamin kesejahteraan semua rakyat tanpa ada komuniti yang terpinggir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap berkata, kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan, memastikan setiap rakyat Sarawak mendapat perhatian sewajarnya tanpa mengira kaum dan agama.
“Di Sarawak, kerajaan GPS menekankan kepentingan keterangkuman sosial agar setiap lapisan masyarakat menerima manfaat dan tiada pihak yang dipinggirkan.
“Oleh itu, dasar inklusif ini menjadi asas kepada perpaduan di Sarawak, menjadikannya contoh terbaik dalam mempamerkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Lunar 2025 anjuran Persatuan Kebajikan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) Cawangan Kuching di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Wilfred mengajak rakyat untuk kekal bersatu sebagai 'Satu Sarawak' bagi membina negeri yang lebih maju, inklusif, adil, makmur, berdaya tahan, harmoni dan bersatu.
Sebagai contoh katanya, peranan PERKTHIS dalam mempromosikan program sosial, warisan, tradisi dan budaya yang memperkukuhkan nilai etika serta hubungan dalam komuniti perlu mendapat pujian.
“Misalnya, majlis sambutan Tahun Baharu Lunar anjuran persatuan ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan perayaan budaya, tetapi juga simbol kebersamaan dalam masyarakat majmuk di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Presiden PERKTHIS Morthada Lau Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana masyarakat Cina Muslim di Sarawak semakin mendapat pengiktirafan dalam masyarakat.
“Kita amat bersyukur kepada Kerajaan Sarawak, khususnya kepada Allahyarham Tun Pehin Sri Taib Mahmud serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan terhadap komuniti kami.
“Salah satu bukti keprihatinan Kerajaan GPS adalah penganugerahan tanah seluas 1.5 ekar di Petra Jaya kepada persatuan ini bagi membina Pusat Kebudayaan Cina Muslim di Sarawak,” jelasnya.
Menurut Morthada, pusat kebudayaan ini akan menjadi tempat untuk memelihara warisan, memupuk pemahaman antara budaya, serta mengeratkan hubungan dalam komuniti mereka. “Kita amat teruja dengan peluang ini dan berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak bagi merealisasikan impian ini,” tambahnya.
Terdahulu, Wilfred menyampaikan sumbangan geran sebanyak RM3,000 kepada PERKTHIS Cawangan Kuching bagi penganjuran majlis tersebut serta program kebajikan dan aktiviti sosial lain sepanjang tahun 2025.
Hadir sama, Pengerusi PERKTHIS Cawangan Kuching Lukhman Ting Abdullah.
|