CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9752|Reply: 0

[Sarawak] 'Mana tak sumbat, peti ais rosak dibuang ke dalam parit,' kata Lee

[Copy link]
Post time 8-2-2025 09:09 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 8-2-2025 01:10 PM



(Dari tiga kanan) Yii, Lee, Ting bersama sukarelawan yang terlibat dalam program gotong-royong mangsa banjir di Kampung Pujut Tanjung Batu, Miri pagi tadi.

MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau pernah melihat sebuah peti ais rosak dibuang ke dalam parit yang menyebabkan aliran air parit tersumbat dan mengakibatkan banjir bila hujan berterusan.

Beliau berkata demikian menegur sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penduduk yang menjadikan parit sebagai tempat pembuangan sampah.

"Dalam parit besar kita boleh lihat ada peti ais rosak dibuang, mana tak sumbat (menyebabkan) banjir," tegas Lee di hadapan lebih 200 peserta Program Gotong-Royong Perdana Bersama Komuniti di bekas tapak terminal bas Pujut di sini, pagi tadi.

Ia merupakan program kedua dan dianjurkan untuk membantu mangsa banjir di Kampung Pujut Tanjung Batu yang terletak di seberang jalan simpang masuk dari terminal itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu memberitahu, daripada pemantauan beliau mendapati air di dalam parit masih bertakung dan tidak mengalir walaupun setelah dua hari tidak hujan.

"Jadi, kita tidak boleh kata sebab hujan tetapi sistem perparitan kita," tegasnya.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri itu berkata, masalah parit sumbat dikenal pasti antara punca utama limpahan air ke kediaman di kawasan rendah di sini.

Beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk segera melakukan kerja-kerja pembersihan parit-parit tersumbat di kawasan-kawasan kediaman yang telah ditenggelami banjir.

"Sekarang tolonglah turun padang. Tengok mana-mana parit yang sumbat, parit besar yang sumbat. Saya beritahu JKR tolong bersihkan sekarang," jelas Lee.

Lee meminta penduduk kampung untuk memberitahu lokasi parit tersumbat di kawasan mereka agar pihak berkuasa dapat menghantar jentera untuk melakukan pembersihan.

Beliau tidak mahu limpahan air dari parit kembali menjejaskan kawasan rendah di sini jika berlaku gelombang kedua banjir kelak.

"Orang kampung harus beritahu tempat parit sumbat dan  korek sekarang. Kita tidak mahu gelombang kedua berlaku.

"Kita boleh lihat, kebanyakan banjir berlaku di banyak kawasan adalah sistem perparitan tidak berfungsi dengan baik," jelasnya.

Dari aspek kesihatan, Lee turut meminta kerjasama Pejabat Kesihatan Miri untuk membantu penduduk menguruskan bangkai haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing yang mati akibat banjir.

Tentang program, ia mengajak penyertaan sukarelawan di sini untuk bersama membantu mangsa banjir  menguruskan barangan buangan seperti perabot dan barangan elektrik rosak.
"Ini merupakan program khas. Program komuniti gotong-royong. Semua turun bersama membantu kerana ini adalah satu bencana. Kita perlu cara (pembersihan) yang luar biasa," jelasnya.

Selepas kerja-kerja pembersihan itu, Lee meminta penduduk memberi kerjasama dengan mengurus sampah sarap mereka dengan baik dan tidak menjadikan parit dan tepi jalan sebagai pusat pembuangan sampah.

Sebagai penghargaan kepada sukarelawan, Lee berhasrat untuk menganjurkan majlis dan memberi sijil sebagai tanda rasa terima kasih kepada mereka.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar yang juga ADUN Pujut Adam Yii.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 04:09 AM GMT+8 , Processed in 0.469079 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list