
Rodger (dua kiri) merakamkan kenangan bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke (dua kanan), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tiga kanan), Dr Sim (tiga kiri) dan Jonathan (kiri).
KUCHING: Sarawak Australia Business Chamber (SABC) mengumumkan dua projek pelaburan mega dari Australia akan masuk ke Sarawak.
Presiden SABC Rodger Chan Siong Boh berkata, projek pertama ialah magnesium hijau dan satu lagi projek hidrogen.
"Kedua-duanya adalah pelaburan bernilai berbilion ringgit," katanya menerusi satu catatan di Facebook hari ini
Rodger turut mendedahkan kepimpinan di peringkat persekutuan dan negeri telah pun mengadakan pertemuan balas dengan syarikat magnesium hijau di Australia dan di Sarawak.
Pertemuan telah diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
"Syarikat perlombongan logam global Australia Fortescue telah bersetuju untuk melabur dalam tenaga alternatif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak," kata PM Anwar baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, persetujuan itu dicapai melalui pertemuan dengan pasukan kepimpinan syarikat yang diketuai Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Fortescue Andrew Forrest AO di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 yang diadakan di bandar Davos, pergunungan Switzerland.
"Kerajaan Sarawak pada dasarnya bersetuju dan saya telah menjamin beberapa insentif dan sokongan supaya Bintulu akan menjadi hab," katanya pada sidang media penutup sempena lawatan kerjanya ke WEF 2025.
Rodger bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Agung SABC Jonathan Ngu dan ahli-ahli SABC baru-baru ini menghadiri acara sambutan Hari Australia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia.
SABC juga bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia, Pesuruhjaya Perdagangan Australia Barat dan Pegawai Perdagangan New South Wales.
|