
Anggota bomba melakukan pemantauan banjir di tebing Sungai Rajang.
SARIKEI: Keadaan paras air di lokasi-lokasi berisiko banjir terutama di tebing Sungai Rajang berada dalam keadaan terkawal dan pada paras biasa hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Arrahman Chik berkata, laporan tersebut adalah berdasarkan pemantauan anggota bomba dari jam 9.45 hingga 10.50 pagi.
"Antara lokasi yang telah dipantau anggota bomba dalam pemantauan kawasan berisiko banjir sempena menghadapi Monson Timur Laut (MTL) pada hari ini ialah Jalan Langsat dan Jalang Pisang Emas.
"Hasil pemantauan tersebut anggota bomba mendapati keadaan paras air sungai pada paras biasa dan terkawal, trend air surut, namun cuaca di Sarikei pada Waktu tersebut adalah mendung," katanya kepada media hari ini.
Seramai tiga anggota bomba telah dikerahkan melakukan pemantuan tersebut di lokasi yang terpilih.
Menurut Arrahman, pihak bomba akan sentiasa mengadakan pemantauan banjir dalam menhadapi MTL.
"Sehubungan itu, kita juga memohon kerjasama masyarakat agar melaporkan dengan segera kepada pihak kita sekiranya kawasan mereka dilanda banjir yang serius.
"Langkah ini amat penting untuk keselamatan mereka dan juga memudahkan pihak bomba bertindak pantas untuk menghadapi sebarang situasi," jelas Arrahman.
|